PERDANA Menteri Najib Razak mengatakan kerajaan sentiasa memilih syarikat berasaskan meritokrasi.
“Kunci utama adalah keupayaan. Bila anda memilih vendor, anda tak boleh pilih sebab politik.
“Kita perlu beri kepada syarikat berkualiti, syarikat tempatan.
“Salah satu sebab mengapa MRT1 dapat disiapkan beberapa minggu lebih awal berbanding jadual dan bajet kurang RM2 bilion adalah kerana kita pilih syarikat tempatan berkualiti melalui amalan pemberian tender yang sangat telus dan teliti,” kata Najib pada sesi townhall di SME Annual Showcase dan SME Conference di Malaysia International Trade and Exhibition Center (MITEC) hari ini.
MMC Corp dan Gamuda adalah syarikat tempatan yang bertanggungjawab menyiapkan pembinaan Fasa Pertama MRT bernilai RM21 bilion. Fasa kedua sedang dalam binaan dengan anggaran kos mencecah RM40 bilion.
“Jika anda ikut syarat ini, anda akan jumpa syarikat Malaysia yang boleh buat,” katanya.
Kerajaan bagaimanapun memilih untuk menggunaka pakai “model turnkey” untuk fasa ketiga MRT yang disifatkan pengkritik akan menekan syarikat tempatan.
Ketua Publisiti DAP Tony Pua pada Ahad lalu mengatakan pendekatan “turnkey” juga digunakan dalam projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) sejauh 688 km yang dibiayai dan dibina oleh China Communications Construction Company Ltd (CCCC).
“Begitu juga dengan projek ECRL – apa gunanya memberikan kontrak RM55 bilion secara langsung kepada CCCC tanpa sebarang tender terbuka semata-mata untuk kos pembiayaan 1% lebih rendah, sedangkan perunding kerajaan sendiri menganggarkan projek itu bernilai kurang RM30 bilion?
“Tambahan pula, keperluan pembiayaan yang belum pernah berlaku sebelum ini seolah-olah direka untuk membatalkan pembina infrastruktur utama yang berpengalaman seperti Gamuda Bhd atau MRCB,” kata Pua. – 16 November, 2017.
Komen