ADA yang tidak kena dengan cadangan MRT ketiga kerana MRT Corp memilih model siap guna (turkey) berbanding model rakan kongsi projek (PDP), kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.
Pua berkata pengumuman MRT Corp baru-baru ini yang ia memilih model siap guna mengejutkan komuniti infrastruktur dan pelaburan.
“Model PDP yang digunakan dalam projek MRT1 dan 2 menyaksikan penyertaan syarikat-syarikat tempatan yang memastikan pelaksanaan projek tepat pada masanya.
“Tetapi dalam model siap guna, kontrak tunggal diberikan bagi keseluruhan projek, yang dianggarkan bernilai antara RM40 hingga RM50 bilion,” kata Pua dalam satu kenyataan hari ini.
Pua berkata projek MRT1 dan 2 menyaksikan penyertaan rakyat Malaysia dalam semua peringkat projek tetapi tidak mungkin bagi firma tempatan untuk menyertai MRT3, melainkan mereka membentuk konsortium atau diupah sebagai subkontraktor oleh pemaju turnkey.
“Mengapa kerajaan berminat untuk mengupah kontraktor asing apabila kita sudah memiliki kepakaran dalam negara?”
Ketua publisiti DAP itu berkata pendekatan juga siap guna dalam Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang dibiayai dan dibina oleh syarikat China Communications Construction Company Ltd (CCCC).
Ini termasuk memilih subkontraktor untuk pembinaan, katanya.
Kos lebih tinggi
“Di bawah skim yang disemak semula, MRT3 memerlukan pembida yang menang untuk menyediakan pembiayaan sekurang-kurangnya 90% dengan moratorium lapan tahun di mana tiada bayaran balik ke atas pokok dan faedah pembiayaan akan dibayar kepada kerajaan.
“Selain itu, ia memerlukan tempoh pembayaran balik tidak kurang daripada 30 tahun.
“MRT Corp mengatakan model pembiayaan siap guna bertujuan untuk menarik syarikat asing yang boleh memberikan pilihan pembiayaan lebih baik untuk projek itu.
“Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Shahril Mokhtar mendakwa kos pinjaman daripada DanaInfra pada 5.1% ‘akan membunuh kami ... sekiranya pihak asing boleh memberikan kami 3%’,” kata Pua.
Tetapi hujah Shahril tidak menangani kos projek sebenar, kata Pua.
“Jika kos projek sebenar dikatakan 20% lebih tinggi, maka kos pembiayaan 2% lebih rendah masih akan membebankan MRT Corp lebih pada akhirnya.
“Begitu juga dengan projek ECRL – apa gunanya memberikan kontrak RM55 bilion secara langsung kepada CCCC tanpa sebarang tender terbuka semata-mata untuk kos pembiayaan 1% lebih rendah, sedangkan perunding kerajaan sendiri menganggarkan projek itu bernilai kurang RM30 bilion?
“Tambahan pula, keperluan pembiayaan yang belum pernah berlaku sebelum ini seolah-olah direka untuk membatalkan pembina infrastruktur utama yang berpengalaman seperti Gamuda Bhd atau MRCB,” kata Pua. – 11 November, 2017.
Komen