KERJA-kerja pembersihan selepas banjir di Pulau Pinang hampir selesai, tetapi negeri itu masih berusaha menangkis mesej-mesej palsu mengatakan ribut akan datang lagi.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata sudah dibuktikan yang tidak akan ada ribut kedua, namun Pulau Pinang bimbang khabar angin itu akan memberi impak negatif terhadap sektor pelancongan dan pelaburan.
Amaran palsu mengenai ribut bertebaran secara online selepas 80% daripada negeri itu terjejas akibat banjir, angin kencang dantanah runtuh disebabkan hujan lebat pada 4 dan 5 November.
“Pulau Pinang hampir 100% pulih, kecuali di Bukit Bendera,” katanya merujuk kepada perkhidmatan keretapi dan trek jip yang masih ditutup.
“Zon perindustrian di Pulau Pinang berjalan lancar. Tiada banjir di Batu Kawan. Bayan Lepas dan Bukit Minyak tidak terjejas teruk.
“Hanya di kawasan perindustrian lama seperti Mak Mandin dan Zon 1 Kawasan Perindustrian Bebas Prai yang terjejas teruk,” kata Lim kepada pemberita di George Town hari ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Farizan Darus menasihatkan orang ramai supaya jangan mempercayai mesej tentang cuaca yang tidah sahih di media sosial.
Beliau berkata orang ramai perlu merujuk laman web Jabatan Metereologi, aplikasi my Cuaca, halaman Facebook malaysiamet dan akaun Twitter @malaysianmet.
“Jabatan Metereologi telah menafikan mesej palsu mengatakan ribut sedang menuju Pulau Pinang dalam tempoh dua hari yang viral pada 9 November.
“Tetapi masalahnya, mesej itu yang mendakwa berdasarkan ramalan teknologi NASA, masih lagi viral,” katanya.
Mesej itu viral awal bulan ini dengan mendakwa NASA telah mengesan ribut dan akan sampai ke Pulau Pinang dalam tempoh dua hari, melainkan angin mengalihkannya ke Vietnam.
Sementara itu, Lim berkata China telah menawarkan untuk berkongsi maklumat dengan Pulau Pinang.
“Kita juga akan tengok kalau kita boleh dapatkan ramalan cuaca dari negara-negara seperti AS,” katanya.
Kerajaan negeri awal minggu ini mengumumkan akan pertimbang untuk menggunakan khidmat ramalan cuaca yang boleh dipercayai dari luar negara.
Pulau Pinang mengkritik Jabatan Metereologi kerana tidak menghantar amaran berkenaan ribut pada awal bulan ini supaya negeri itu dapat bersedia menghadapi bencana.
Lim berkata bencana itu boleh dicegah sekiranya pihak berkuasa berkaitan dan negeri dapat bertindak dengan cepat. – 16 November, 2017.
Komen