Pulau Pinang pertimbang guna khidmat kaji cuaca luar negara


Looi Sue-Chern

Salah seorang mangsa Che Gayah Mahmud, membersihkan kediamannya selepas dilanda banjir di Kampung Petani, Merbau Kudung, Pulau Pinang. Kerja-kerja pembersihan di seluruh negeri itu dijangka siap dalam minggu ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 14 November, 2017.

KERAJAAN Pulau Pinang akan mempertimbangkan untuk mendapatkan khidmat pengkaji cuaca yang lebih dipercayai bagi mendapatkan amaran cuaca buruk.

Ketua Menterinya Lim Guan Eng (DAP-Air Putih) berkata Majlis Hijau Pulau Pinang akan mengkaji sama ada negeri ini mampu menubuhkan sistem amaran cuaca buruknya sendiri. 

Katanya negeri itu memerlukan sistem yang “boleh dipercayai”.

“Kita akan lihat sama ada kita boleh menerima laporan daripada ramalan kaji cuaca luar negara, kerana yang sedia ada kini gagal memberikan ramalan yang tepat. 

“Kini kita perlu lebih berjaga-jaga apabila tiada amaran dikeluarkan,” katanya pada penggulungan perbahasan di sidang Dewan Undangan Negeri hari ini. 

Pada 4 November lalu, hujan lebat berterusan menyebabkan banjir melanda Pulau Pinang, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran peringkat merah, iaitu amaran hujan lebat, hanya pada jam 9.30 malam. 

Ketika itu sebahagian kawasan di negeri berkenaan sudah dilanda banjir. 

Minggu lalu, dua amaran peringkat merah dikeluarkan, namun tiada hujan lebat berlaku. 
  
“Ramalan kaji cuaca hari ini mengatakan tiada hujan, tetapi sekarang hujan di Paya Terubong,” kata Lim.

Taburan hujan dan angin kencang pada 4 dan 5 November menyebabkan banjir, tanah runtuh dan pokok tumbang di Pulau Pinang. 

Bencana itu disifatkan sebagai yang terburuk dalam tempoh 30 tahun menyebabkan 12,500 orang penduduk dipindahkan daripada kediaman mereka. 

Negeri itu kini dalam peringkat akhir proses pemberchan pasca banjir, yang mana pihak berkuasa menjangkakan ia akan tamat dalam minggu ini. 

“Dalam tempoh 10 hari, Pulau Pinang kembali pulih. Pembersihan di kawasan pulau siap sepenuhnya, manakala di tanah besar 80% sudah siap,” kata Lim yang turut memuji exco kerajaan tempatan Chow Kon Yeow di atas kerja keras yang diberikan. – 14 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen