Universiti sedia makanan untuk pelajar terkandas 


Aminah Farid

UNIVERSITI tempatan mula mengagihkan makanan dan minuman kepada pelajarnya yang dihalang daripada meninggalkan kampus susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perkembangan ini selepas Putrajaya mengumumkan akan menanggung perbelanjaan makanan pelajar yang terkandas di universiti dan kolej.

Sebanyak RM12.2 juta diperuntukkan bagi penyediaan makanan kepada 74,530 pelajar universiti yang terkandas di asrama ketika penguatkuasaan PKP.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata, peruntukan itu termasuk kepada universiti awam dan swasta, kolej matrikulasi, kolej komuniti dan intsitut pendidikan guru di seluruh negara.

Bagaimanapun katanya, ia terpulang kepada pihak institusi mengenai bagaimana untuk mengendalikan dari segi agihan dan penyediaan makanan.

Minggu lalu, The Malaysian Insight melaporkan universiti awam membiarkan pelajarnya bergantung pada diri sendiri walaupun selepas Kementerian Oengajian Tinggi menyatakan pihak universiti awam dan institusi pengajian tinggi swasta bertanggungjawab ke atas kebajikan pelajar mereka ketika tempoh PKP.

Seorang pelajar universiti tempatan, Mohd Firash Ismail memberitahu The Malaysian Insight, universitinya mula menyediakan makanan tengah hari dan malam kepada pelajar sejak Jumaat lalu. 

“Buat masa ini, universiti saya berikan makanan berupa nasi campur dengan pelbagai pilihan lauk setiap hari.

“Semuanya ok setakat ini. Saya gembira selagi pelajar dijaga dengan baik,” kata pelajar jurusan sains sukan itu.

Bagi pelajar universiti awam di Perak yang berasal dari Sabah, Nur Syahirah Idayu, institusi pengajiannya menyediakan mekanan kepada pelajar dengan bantuan pihak pentadbir universiti.

“Universiti saya menyediakan makanan kering seperti mi segera, nescafe dan biskut kepada pelajar manakala pentadbir menyediakan nasi campur dengan pelbagai lauk sumbangan kerajaan negeri Sabah.

“Mereka terus memastikan kafe dan kedai di kampus dibuka bagi membantu pelajar sediakan bekalan kerana perkhidmatan bas universiti dihentikan dalam tempoh PKP.”

Pelajar berusia 21 tahun itu berkata, pihak universitinya sangat komited dalam memastikan keperluan pelajar dipenuhi termasuk mereka yang tinggal di luar kampus.

Seorang lagi pelajar, Afiqah Azhar memberitahu The Malaysian Insight, pihak universitinya tidak menyediakan makanan dan minuman kepada pelajar minggu lalu, namun sejak Jumaat lepas, dia dan pelajar lain di kampus disediakan makanan dan minuman.

“Pelajar diberikan makanan tiga kali sehari. Sebagai contoh pada pagi ini, kami diberikan roti dan paket minuman.

“Untuk tengah hari, kami diberikan air mineral dan nasi campur.

“Bukan itu sahaja, pihak universiti turut menyediakan makanan seperti biskut, mi segera dan lain-lain.”

Menurutnya, pelajar diarahkan untuk turutn dari bilik asrama dan mengambil makanan di kantin kemudian kembali ke bilik masing-masing.

Selain itu, pihak universiti turut memastikan pelajar mereka mengamalkan penjarakan sosial di kampus seperti berdiri dalam jarak satu meter antara satu sama lain di kantin seperti yang disarankan kementerian kesihatan bagi mencegah jangkitan Covid-9.

Syahirah memberitahu The Malaysian Insight, pihak universitinya sentiasa mengingatkan pelajar agar mengamalkan penjarakan sosial antara satu sama lain.

Pihak universitinya turut mengharamkan sebarang aktiviti di kampus, termasuk joging, dan pelajar diberi arahan untuk tinggal di kediaman mereka sehingga keadaan selamat.

Setakat hari ini, Malaysia merekodkan 1,518 kes Covid-19, dengan 14 kematian. – 23 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen