74,530 pelajar terima bantuan makanan   


Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob turut menyatakan bekalan makanan seluruh negara mencukupi sepanjang tempoh PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mac, 2020.

KERAJAAN memperuntukkan RM12.2 juta untuk menyediakan makanan kepada 74,530 pelajar universiti yang terkandas di asrama mereka susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan itu berkata, ia termasuk universiti awam dan swasta, kolej matrikulasi, kolej komuniti dan institut pendidikan guru di seluruh negara. 

“Kita menyerahkan kepada pihak universiti dari segi agihan dan terserah pada universiti sama ada dia (pelajar) boleh beli guna kupon atau beli di gerai dan kafe, terserah kepada IPT.

“Kerajaan akan menanggung sepenuhnya makanan mereka ,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau yang juga menteri pertahanan berkata, negara mempunyai bekalan makanan yang  mencukupi sepanjang tempoh PKP.

“Kita mempunyai bekalan makanan yang cukup, malah kita ada lebih dua minggu lagi tempoh PKP. 

“Kerajaan juga membenarkan pekerja di sektor makanan bekerja dalam tempoh PKP. 

“Ini bermakna nelayan dan petani boleh bekerja seperti biasa.”

Ismail berkata, kerajaan turut membenarkan kenderaan makanan beroperasi agar tiada gangguan bekalan. 

Menurutnya, kerajaan juga sedang berunding dengan pembekal topeng muka bagi memastikan harga barangan itu tidak naik. 

“Harga siling topeng muka akan diturunkan. Ia tidak akan jadi RM2 seperti yang diumumkan sebelum ini. 

“Kita akan umumkan harga tidak lama lagi,” tambahnya. 

PKP memasuki hari ke enam hari ini yang dilaksanakan bagi mencegah penularan Covid-19. 

Setakat ini, Malaysia merekodkan 1,306 kes dengan 11 kematian. – 23 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen