Hotline perintah kawalan pergerakan sukar dihubungi


Alfian Z.M. Tahir

Suasana di Putrajaya susulan perintah kawalan pergerakan dilasanakan. Putrajaya memberi jaminan hotline Majlis Keselamatan Negara akan beroperasi untuk membantu rakyat ketika kecemasan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2020.

TALIAN hotline Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bertujuan menyampaikan maklumat mengenai Perintah Kawalan Pergerakan tidak dapat dihubungi walaupun Putrajaya memberi jaminan talian itu akan beroperasi untuk membantu rakyat ketika kecemasan.

The Malaysian Insight beberapa kali cuba menghubungi nombor talian hotline MKN 03-88882010 sejak 11 pagi hingga 4 petang semalam tetapi tidak berjawab.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini memberi jaminan bahawa rakyat boleh menghubingi talian ini bagi mengajukan sebarang persoalan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan.

The Malaysian Insight juga menerima aduan orang ramai yang kecewa kerana talian tersebut gagal dihubungi.

Begitu juga dengan talian hotline beberapa kementerian, semuanya tidak berjawab.

Talian hotline utama Putrajaya 03-80008000 juga tidak membantu. The Malaysian Insight diminta meninggalkan pesanan suara dan talian putus selepas talian sama sekali lagi cuba dihubungi.

Hanya talian Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang berjawab. Bagaimanapun, operator talian tersebut tidak dapat menjawab beberapa pertanyaan yang diajukan.

“Saya hanya jaga front desk. Saya tak dapat nak jawab. Orang yang sepatutnya jaga hotline tak bekerja kerana perintah kawalan pergerakan,” kata operator lelaki itu.

Apabila ditanya jika banyak panggilan diterima, operatot itu mengaku kementerian itu menerima banyak panggilan selepas hotline diwujudkan untuk orang ramai.

“Saya terima banyak panggilan, orang ramai bertanya tentang keadaan semasa tetapi saya tak boleh nak jawab semua. Memanglah ini hotline tapi tak ada siapa yang jaga.”  – 21 Mac, 2020.

Berita penuh di sini.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen