Rakyat perlu lebih banyak bantuan, kata Pakatan kepada Perikatan


Putrajaya digesa memberikan lebih banyak bantuan dan insentif untuk membantu rakyat berdepan kesan wabak Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mac, 2020.

PUTRAJAYA perlu membantu mengurangkan kesukaran ekonomi rakyat Malaysia sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan kerana Covid-19 dengan menyediakan lebih banyak bantuan kewangan, kata Pakatan Harapan.

“Bantuan kewangan RM600 kepada setiap pekerja yang berpendapatan di bawah RM4,000, yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji untuk tempoh maksimum 6 bulan, melengkapkan pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan pada 27 Februari 2020,” kata gabungan pembangkang itu dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

PH juga mencadangkan bantuan ini juga disalurkan kepada pekerja ekonomi-gig seperti pemandu e-seru yang kehilangan upah harian disebabkan perintah itu serta kumpulan pekerja lain.

Bayaran tambahan RM100 untuk semua penerima Bantuan Sara Hidup yang dijadualkan diberi pada Mei seperti diumum bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad juga tidak mencukupi bagi rakyat berdepan kesukaran wabak ini, tambah PH.

Peruntukan RM2 bilion untuk projek kecil pembangunan luar bandar yang sepatutnya diedarkan pada April juga tidak mencukupi, katanya lagi.

“Kerajaan perlu meningkatkan perbelanjaan bagi membantu PKS merentas semua sektor, terutamanya pelancongan dan runcit.

“Pengecualian bayaran cukai dan lesen untuk tiga bulan akan datang perlu dilaksanakan,” kata kenyataan PH itu yang ditandatangani Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Kit Siang.

Isnin lalu, kerajaan Perikatan Nasional mengumumkan peruntukan RM120 juta bantuan kewangan kepada pekerja yang dipaksa mengambil cuti tanpa gaji kerana wabak Covid-19.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan membayar pekerja terjejas sebanyak RM600 sebulan selama enam bulan, maksimum. Seramai 33,000 pekerja dijangka menerima manfaat daripada usaha itu.

Pemimpin PH hari ini juga menggesa Bank Negara menyediakan pinjaman modal kerja tanpa faedah kepada PKS.

Buat masa sekarang, faedah kemudahan kewangan disediakan Bank Negara adalah pada 3.75%.

Bank juga boleh memberikan penangguhan tiga bulan pinjaman bagi memastikan pekerja dilindungi dan syarikat kecil boleh berdepan cabaran wabak Covid-19, kata kenyataan lagi.

“(Ini) Untuk mengelakkan berlakunya keruntuhan sistemik.”

Tambah kenyataan lagi, kerajaan juga patut memberikan insentif tambahan kepada penjawat awam yang menjadi barisan hadapan memerangi wabak Covid-19.

“Insentif tambahan dan kemudahan diperlukan bagi menyokong mereka dalam menjalankan tugas yang berisiko untuk melindungi kesihatan rakyat Malaysia.” – 19 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen