Denda RM1,000, penjara jika langgar peraturan cegah Covid-19


Peraturan dikecualikan bagi tujuan membekal atau menghantar makanan atau keperluan harian. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 18 Mac, 2020.

INDIVIDU yang melanggar peruntukan dalam peraturan kawalan pencegahan Covid-19 boleh didenda sehingga RM1,000 dan penjara tidak lebih enam bulan.

Warta itu menyebut, dakwaan boleh dikenakan ke atas pengarah, pengurus, setiausaha dan pegawai sesebuah organisasi yang melanggar perintah itu.

Warta Peraturan Pencegahan dan Pengawal Penyakit Berjangkit (Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 diterbitkan hari ini.

Ia berkuatkuasa selaras sengan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula hari ini sehingga 31 Mac.

Warta tersebut melarang setiap individu bergerak dari satu negeri ke negeri lain.

“Tiada seorangpun boleh bergerak dari satu kawasan tempatan jangkitan ke suatu kawasan tempatan jangkitan yang lain kecuali dengan kebenaran bertulis pegawai polis yang menjaga balai polis terlebih dahulu,” warta itu dipetik.

Pengecualian hanya diberikan bagi tujuan:

  • Untuk melaksana tugas rasmi
  • Untuk bergerak ke, atau dari premis yang dinyatakan sebagai perkhidmatan perlu
  • Untuk membeli, membekal atau menghantar makanan atau keperluan harian
  • Untuk mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan
  • Untuk maksud khas lain yang dibenarkan ketua pengarah

Warta itu melarang perhimpunan untuk keagamaan, sukan, rekreasi, sosial atau kebudayaan.

Perhimpunan untuk pengebumian pula hanya dibolehkan dengan kehadiran minimum. – 18 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen