WARTA baharu kerajaan dikeluarkan hari ini menjelaskan lebih lanjut senarai perkhidmatan perlu yang wajib beroperasi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa untuk mengekang Covid-19.
Ia antara lain menyertakan perkhidmatan pelabuhan, limbungan dan lapangan terbang termasuk pemunggahan, pengangkutan laiter, kendalian kargo, pemaliman, penyimpanan atau pemukalan komoditi.
Senarai itu menjamin pergerakan kargo lancar selepas Malaysia menutup sempadan kepada negara jiran apabila kawalan pergerakan berkuatkuasa hari ini.
Selain itu, senarai khidmat berkaitan bahan api dan pelincir menyertakan penyulingan, penyimpanan, pembekalan, serta agihan bahan api dan pelincir.
Khidmat e-dagang juga tersenarai, selain hotel dan penginapan dan apa juga perkhidmatan atau pekerjaan yang ditentukan menteri sebagai perlu atau kritikal kepada kesihatan dan keselamatan awam.
Khidmat penginapan itu menangani isu dan kekeliruan yang timbul bagi hotel dalam menguruskan tetamu sewaktu perintah kawalan.
Warta yang disiarkan hari ini menegaskan, premis berkenaan boleh dibuka dengan bilangan kakitangan dan pengunjung minimum.
Premis tidak menyediakan perkhidmatan perlu pula boleh dibuka dengan kebenaran bertulis ketua pengarah yang boleh mengenakan syarat mengikut budi bicaranya.
Premis yang terlibat dalam rantaian pembekalan dan jualan makanan juga tertakluk kepada syarat ketua pengarah.
“Mana-mana premis yang terlibat dalam rantaian pembekalan makanan atau dalam penjualan makanan dan minuman secara pandu lalu, bawa pulang dan penghantaran boleh dibuka tertakluk kepada apa-apa syarat yang boleh dikenakan oleh Ketua Pengarah sebagaimana yang difikirkannya patut.”
Berikut senarai penuh perkhidmatan perlu:
- Perbankan dan kewangan
- Elektrik dan tenaga
- Bomba
- Perkhidmatan dan pengusahaan pelabuhan, limbongan dan lapangan terbang termasuk pemunggahan, pengangkutan laiter, pengendahlian kargo, pemalimam dan penyimpanan datau pemukalan komoditi
- Pos
- Penjara
- Pengeluaran, penyulingan, penyimpana, pembekalan, pengagihan bahan api dan pelincir
- Jagaan kesihatan dan perubatan
- pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam
- Pembetungan
- Komunikasi radio termasuk penyiaran dan televisyen
- Telekomunikasi
- Pengangkutan melalui darat, air atau udara
- Air
- E-dagang
- Pertahanan dan keselamatan
- Pembekalan makanan
- Hotel dan penginapan
- Apa-apa perkhidmatan atau kerja yang ditentukan oleh menteri sebagai perlu atau kritikal kepada kesihatan atau keselamatan awam. – 18 Mac, 2020.
Komen