INDUSTRI sawit bakal terjejas teruk akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan selama dua minggu untuk mengekang penularan wabak Covid-19, kata Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA).
Reuters melaporkan persatuan itu menggesa kerajaan memberi pengecualian kepada ladang kelapa sawit.
Ketua Pegawai Eksekutif MPOA Nageeb Wahab dipetik berkata ini kerana ladang memerlukan tempoh dua hingga tiga bulan untuk pulih jika ditutup operasi selama dua minggu.
Menurut Reuters, MPOA sudah mengemukakan rayuan kepada Putrajaya berhubung perkara ini.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin malam tadi mengumumkan perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa esok hingga 31 Mac bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Larangan dikenakan bagi semua pergerakan beramai-ramai dan perhimpunan, termasuk keagamaan, sukan, sosial dan aktiviti kebudayaan.
Semua rumah ibadat dan premis perniagaan akan ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka menjual barangan keperluan harian.
Larangan termasuk melarang rakyat ke luar negara dan menutup pintu sempadan kepada warga asing.
Eksport minyak sawit sudahpun menghadapi cabaran susulan Kesatuan Eropah bercadang mahu menghapuskan penggunaan minyak itu dalam bio bahan api. Selainitu, India juga meminta pengimport minyak sawit negara itu menghentikan pembelian minyak sawit dari Malaysia. – 17 Mac, 2020.
Komen