Perintah kawalan pergerakan timbulkan lebih banyak persoalan


Jahabar Sadiq

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam ditemani barisan menteri berkenaan pada sidang akhbar umum perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan bermula esok hingga 31 Mac. – Gambar EPA, 17 Mac, 2020.

KITA boleh faham Malaysia perlu mengehadkan pergerakan rakyat dalam tempoh dua minggu akan datang disebabkan kenaikan mendadak kes jangkitan Covid-19 sejak beberapa hari lalu.

Sebanyak 315 jangkitan positif dikesan sejak dua hari lalu, lebih separuh daripada jumlah 553 kes sejak 24 Januari apabila koronavirus mula dikesan di negara kita.

Namun pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam menerbitkan lebih banyak persoalan dan tidak banyak jawapan dikemukakan.

Pendek kata, perdana menteri baharu dan anak buahnya tersadung langkah dalam mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan itu, yang tidak pernah berlaku sejak Perintah Darurat dikuatkuasakan selepas rusuhan kaum 13 Mei, 1969.

Berikut perkara yang kita tahu mengenai sekatan pergerakan antara 18 hingga 31 Mac.

* Semua syarikat dan jabatan kerajaan ditutup kecuali perkhidmatan penting.

* Boleh keluar dari kediaman, sekiranya bekerja dalam perkhidmatan penting atau perlu menggunakan perkhidmatan penting itu.

*  Restoran tidak boleh menghidangkan kepada pelanggan tetapi boleh dibuka untuk perkhidmatan penghantaran, anda tidak dibenarkan membuka restoran atau melayan pelanggan yang makan di premis.

* Tidak dibenarkan keluar negara.

* Jamuan kenduri tidak dibenarkan, upacara pengkebumian pula dibuat pada skala kecil untuk mengelak kelompok ramai.

* Tiada upacara keagamaan dibenarkan di semua rumah ibadat termasuk solat Jumaat. Semua aktiviti keagamaan dilarang.

* Pengangkutan barang dibenarkan tetapi rakyat tidak dibenarkan meninggalkan negara.

* Semua pusat pendidikan ditutup. Semua peperiksaan ditangguhkan.

Perkara itu agak jelas.

Apa yang tidak jelas lebih banyak. Bagaimana syarikat multinasional dan perusahaan kecil dan sederhana yang berasaskan eksport dapat beroperasi?

Bagaimana dengan pekerja di Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand yang berkongsi sempadan dengan kita? Terutamanya Singapura.

Bagaimana dengan ibu bapa yang perlu bekerja dan tiada tempat yang boleh menjaga anak mereka? Semua pusat jagaan kanak-kanak, tadika, sekolah dan sebagainya ditutup.

Bagaimana dengan pelajar yang sudah pun bercuti?

Macam mana pula dengan tetamu hotel? Apa tindakan hotel bermula esok?

Bagaimana dengan orang yang sedang bercuti dan perlu kembali bekerja dalam tempoh dua minggu depan? Adakah mereka terpaksa kekal di Malaysia dan perlu mengasingkan diri atau kembali ke tempat kerja di luar negara?

Jika ada, jawapan itu akan dapat diketahui selepas jam 12 tengah hari selepas hotline kerajaan dibuka.

Sementara itu, penduduk terutama di kawasan bandar melakukan pembelian panik. Mereka mengerumuni kedai, pasar raya, pasar raya besar, pasar basah dan sebagainya.

Itu hanya akan meningkatkan lagi jangkitan, satu-satunya perkara yang perlu dielak sewaktu tempoh kawalan pergerakan ini.

Kita hanya dapat berharap tempoh dua minggu akan datang membolehkan perkhidmatan kesihatan awal mendapat bekalan dan bersedia untuk lebih banyak lagi jangkitan.

Jika ia tidak menjadi tempoh bertenang, ia akan mengeramkan lebih banyak lagi jangkitan.

Ada kalangan ahli politik dalam kerajaan ini mendabik dada mahu menyelamatkan Malaysia. Tetapi siapa yang akan selamatkan kita daripada orang yang keluarkan arahan tanpa memikirkan langkah tersebut semasak-masaknya?

Sementara itu, jagalah keselamatan dan kesihatan. Berdiamlah di rumah.

* Jahabar Sadiq ialah ketua pengarang The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen