ISO Jabatan Perhutanan Kelantan tamat pada 2016


The Malaysian Insight

Pemeriksaan mendapati pensijilan ISO itu tamat pada 2016 manakala pensijilan pengurusan kelestarian hutan lain juga dibatalkan pada tahun sama.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2020.

JABATAN Perhutanan Kelantan yang dikawal kerajaan negeri PAS tidak lagi mempunyai pensijilan ISO seperti mana didakwa salah seorang wakil rakyatnya yang kini jadi menteri.

Pemeriksaan mendapati pensijilan ISO itu tamat pada 2016 manakala pensijilan pengurusan kelestarian hutan lain juga dibatalkan pada tahun sama.

Ketiadaan pensijilan itu akan menimbulkan persoalan terhadap dakwaan Menteri Alam Sekitar Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa Jabatan Perhutanan Kelantan menggunakan pensijilan antarabangsa untuk amalan pengurusan dan kerja terbaiknya.

Pensijilan Pengurusan Hutan Kelantan ditarik balik oleh Sirim QAS International Sdn Bhd kerana gagal melaksanakan audit pemantauan pada tahun sama.

Penarikan itu bermakna jabatan perhutanan negeri itu tidak lagi berada di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS).

MTSC adalah pensijilan dibangunkan oleh Program Pensijilan Kebenaran Hutan (PEFC), skim dunia yang mempromosi kelestarian perhutanan.

Pembalakan di Kelantan dipersalahkan untuk kemusnahan tanah adat Orang Asli, pencemaran sungai dan banjir kilat yang melanda bandar di negeri itu seperti Kuala Krai, Pasir Mas dan Kota Baru.

PAS mentadbir Kelantan sejak tiga dekad lepas dan Tuan Ibrahim adalah timbalan presiden PAS.

Dalam kenyataan pertamanya selepas dilantik jadi menteri, Tuan Ibrahim yang merupakan ahli Parlimen Kubang Kerian juga mempertahankan pengurusan hutan Kelantan.

“Kalau tengok Kelantan, dia dapat sijil ISO berbanding dengan negeri lain yang langsung tak dapat. (Kritikan) sebahagiannya kerana sentimen pembangkang,” katanya.

Bagaimanapun, kementerian selepas itu mengeluarkan kenyataan mendakwa laporan tersebut “tidak tepat”.

“Kementerian ingin menegaskan bahawa laporan berita semalam yang dikeluarkan adalah tidak tepat. 

“Dalam usaha melindungi kelestarian hutan dan biodiversiti, pemantauan dan penguatkuasaan akan ditingkatkan dalam memastikan pematuhan kepada peraturan sedia ada.

“Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang didapati menjalankan aktiviti bertentangan dengan undang-undang negara berkaitan alam sekitar dan perhutanan,” kata kementerian dalam satu kenyataan. – 13 Mac, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen