Laporan Tuan Ibrahim pertahan pembalakan di Kelantan tidak tepat


Menteri Alam Sekitar Tuan Ibrahim Tuan Man berkata semua kegiatan pembalakan di Kelantan mempunyai sijil ISO. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2020.

KEMENTERIAN Alam Sekitar hari ini menafikan laporan berita yang mendakwa menteri baharu, Tuan Ibrahim Tuan Man mempertahankan aktiviti pembalakan di Kelantan.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata semua aktiviti di Kelantan berada di bawah pemerhatian kerajaan negeri, sambil menambah ia akan terus memperjuangkan dan melindungi flora dan fauna negara.

“Kementerian ingin menegaskan bahawa laporan berita semalam yang dikeluarkan adalah tidak tepat. 

“Dalam usaha melindungi kelestarian hutan dan biodiversiti, pemantauan dan penguatkuasaan akan ditingkatkan dalam memastikan pematuhan kepada peraturan sedia ada.

“Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang didapati menjalankan aktiviti bertentangan dengan undang-undang negara berkaitan alam sekitar dan perhutanan,” kata kementerian dalam satu kenyataan.

Pada Rabu, Tuan Ibrahim yang juga timbalan presiden PAS diminta menjawab kritikan mengenai aktiviti pembalakan di Kelantan yang ditadbir oleh PAS.

“Kalau tengok Kelantan, dia dapat sijil ISO berbanding dengan negeri lain yang langsung tak dapat. (Kritikan) sebahagiannya kerana sentimen pembangkang,” katanya sebagaimana dilaporkan Malaysiakini.

“Ia (kritikan) sebahagiannya disebabkan oleh sentimen pembangkang,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini.

Semalam, Presiden PKR Anwar Ibrahim, mengecam Tuan Ibrahim kerana mempertahankan aktiviti pembalakan di Kelantan, berharap respons mengenai pendirian kementerian berkenaan isu itu.

“Kenyataan yang sambil lewa dan tidak bertanggungjawab. Sedangkan kita perlu merangka dasar yang membela alam sekitar, termasuk hutan. 

“Apakah ini pendirian rasmi kementerian? Mohon respon segera,” kata ahli Parlimen Port Dickson itu.

Kerajaan Kelantan dikritik sebelum ini kerana membenarkan aktiviti pembalakan yang menyebabkan masyarakat Orang Asli di Gua Musang kehilangan kawasan simpanan hutan mereka.

Tuan Ibrahim dilantik sebagai menteri alam sekitar di bawah Kabinet Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Isnin. – 12 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen