Laksana semula GST perlu kajian terperinci, kata pakar ekonomi


Sheridan Mahavera

Ahli politik dan pakar ekonomi mencadangkan supaya GST dikenakan pada kadar lebih rendah iaitu antara 3-4%. – Gambar EPA, 12 Mac, 2020.

PELAKSANAAN semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ketika ekonomi tidak menentu adalah berisiko dan memerlukan kajian terperinci dengan mengambil kira kebaikan serta keburukannya.

Yang bagusnya, cadangan itu boleh meningkatkan pendapatan negara yang menyusut susulan kejatuhan harga minyak dunia.

Dari segi keburukannya pula, GST akan melemahkan sentimen pengguna dalam keadaan ekonomi negara yang perlahan ketika ini.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan mengkaji semua pilihan untuk mencapai keseimbangan ekonomi termasuk memperkenalkan semula GST.

GST dengan kadar 6% diperkenalkan Barisan Nasional (BN) semasa di bawah pentadbiran Najib Razak pada 2014. Cukai ini dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan di semua peringkat perniagaan kecuali yang disenaraikan kerajaan.

Kerajaan ketika itu menerima banyak kritikan berhubung GST dan penangguhan bayaran balik cukai itu. Kerajaan Najib mengumpul RM44 bilion hasil daripada kutipan GST.

Selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Putrajaya, cukai tersebut kemudiannya dimansuh dan diganti dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Tidak seperti GST, SST hanya dikenakan di peringkat pengeluar, dan hanya mengutip RM27.5 bilion pada 2019.

Ahli politik dan pakar ekonomi mencadangkan supaya GST dilaksana semula tetapi pada kadar lebih rendah iaitu antara 3-4% untuk meningkatkan pendapatan negara.

Ini susulan Belanjawan 2020 sebelum ini dirangka berdasarkan andaian harga minyak dunia ialah AS$63 (RM267) setong. Namun, harga minyak dunia jatuh kepada AS$27 semalam ekoran perang harga antara pengeluar utama iaitu Arab Saudi dan Rusia.

Permintaan minyak di China juga menurun berikutan perniagaan dan kilang ditutup bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Pakar ekonomi Lee Heng Guie memberitahu The Malaysian Insight GST mungkin baik untuk meningkatkan pendapatan kerajaan susulan kejatuhan harga minyak dunia tetapi ia bergantung kepada kadar yang hendak dikenakan. – 12 Mac, 2020.

Berita penuh di sini.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen