BARISAN Kabinet baharu akan diumumkan hari ini oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata Pejabat Perdana Menteri.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Muhyiddin akan menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan mempersembahkan senarai itu pada pukul 11 pagi ini.
“Setelah mendapat perkenan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, YAB Perdana Menteri dijangka akan mengumumkan senarai Jemaah Menteri pada hari ini jam 5.00 petang bertempat di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya,” menurut kenyataan itu.
Muhyiddin yang juga presiden Bersatu mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia ke-8 dua minggu lalu selepas Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.
Ahli Parlimen Pagoh bersama Bersatu membentuk satu pakatan baharu dengan Umno, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Barisan Kabinet dijangka terdiri daripada pemimpin dalam pakatan berkenaan.
Bagaimanapun, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang kini berdepan beberapa pertuduhan rasuah, tidak mahu dirinya dipertimbangkan sebagai anggota Jemaah Menteri dalam pentadbiran baharu itu.– 9 Mac, 2020.
Komen