Penyokong Tian Chua cuba provok saya, kata Prabakaran


AHLI Parlimen Batu P Prabakaran terkejut apabila ada pemimpin partinya sendiri dipengaruhi agenda peribadi mereka untuk menjatuhkannya, PKR dan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata tindakan Naib Ketua PKR Cabang Batu, Rozan Azen Mat Rasip mengganggu ceramah PH di Batu malam tadi adalah tindakan provokasi, dan cubaan untuk mencemarkan namanya.

Beliau menambah ingin merujuk Rozan, penyokong bekas ahli Parlimen Batu Tian Chua, kepada lembaga disiplin parti supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

“Saya terkejut dengan tindakan Rozan. Kenapa beliau menjerit kepada saya, dan juga dalam ceramah PH?

“Ini adalah ceramah untuk menjelaskan mengenai krisis politik semasa dan ia diadakan bersama sekutu PKR iaitu Amanah dan bekas menteri Khalid Samad juga hadir.

“Saya rasa beliau cuba memprovokasi saya dan ingin mencemarkan nama saya,” kata ahli Parlimen PKR itu kepada The Malaysian Insight.

Malam tadi, Rozan menimbulkan kekecohan semasa ceramah di kawasan Batu apabila mula menjerit terhadap Prabakaran yang sedang menyampaikan ucapannya.

Bekas menteri Wilayah Persekutuan Khalid juga turut hadir sebagai penceramah pada acara itu.

Rozan kemudian dilaporkan berkata beliau mahu membetulkan Prabakaran yang didakwanya cuba mencemarkan kredibiliti Naib Presiden PKR, Tian Chua dalam ucapannya. – 8 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen