Mat Hasan janji Guan Eng, Kementerian Kewangan akan disiasat


Alfian Z.M. Tahir

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan berjanji Perikatan Nasional akan menyiasat Lim Guan Eng dan Kementerian Kewangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mac, 2020.

KERAJAAN Perikatan Nasional akan menyiasat pengurusan Kementerian Kewangan ketika di bawah teraju Lim Guan Eng, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu juga menuduh Lim menjual aset negara dan menambah RM140 bilion ke dalam hutang negara sepanjang 21 bulan menjadi menteri kewangan.

“Kita akan siasat. Jika ada salah guna kuasa kita akan bawa dia ke mahkamah. Ini bukan balas dendam tetapi demi negara kita. Kita tak boleh biarkan dia terlepas,” katanya hari ini pada majlis Persidangan Umno Bahagian Pagoh.

Rakaman ucapannya dimuat naik ke akaun Facebook Umno Online.

“Dia kata mahu selamatkan Malaysia tetapi tengok apa dia buat. Daripada hutang RM686 bilion ketika kita jadi kerajaan persekutuan selama 62 tahun, bila mereka ambil alih mereka tambah lagi RM140 bilion hutang negara. Sekarang, hutang kita RM800 bilion. Itu sebab saya gelar dia bodoh,” katanya.

Mohamad berkata Lim tidak tahu menguruskan kewangan negara dan apa yang politikus DAP itu lakukan ketika berkuasa hanya mengambil pinjaman.

“Dia ambil duit Petronas RM82 bilion tunai dan kemudian ambil lagi RM10 bilion. Keseluruhannya dia ambil RM92 bilion.

“Kalau itu tak cukup, tengok apa dia buat kepada Tabung Haji. Dia jual aset dan sekarang mana duit itu. Kementerian mana dapat duit itu? Saya sudah tanya dia dan dia tak boleh jawab,” kata Mohamad lagi.

Bekas menteri Dr Mujahid Yusof Rawa yang bertanggungjawab ke atas Tabung Haji bagaimanapun mempertahankan Lim apabila politikus DAP itu menjadi sasaran serangan dalam talian berkaitan penjualan empat buah hotel milik Tabung Haji.

“Perkara berkaitan Tabung Haji adalah di bawah bidang kuasa saya selaku menteri bertanggungjawab untuk hal ehwal Islam dan bukannya Lim,” kata Mujahid. – 7 Mac, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Sila saman

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Salehuddin Zakaria · Ulasan