Hendak tukar speaker, rujuk Perlembagaan, kata Ariff


Diyana Ibrahim

Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof menolak dakwaan Ahli Parlimen Ketereh bahawa Dewan Rakyat memerlukan speaker baharu kerana kerajaan sudah bertukar.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 4 Mac, 2020.

SETIAUSAHA Agung Umno Annuar Musa perlu merujuk Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan mengenai pertukaran speaker Dewan Rakyat, kata Mohamad Ariff Md Yusof.

Speaker Dewan Rakyat berkata setakat ini beliau tidak menerima sebarang arahan atau pemakluman dari kerajaan berhubung isu tersebut.

“Saya tidak terikat dengan arahan tetapi Perlembagaan Malaysia. Mungkin ada baiknya Yang Berhormat berkenaan (Annuar) merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan terdahulu.

“Saya menanti kupasan Yang Berhormat berkenaan dengan semangat ukhuwah,” katanya kepada The Malaysian Insight menerusi aplikasi WhatsApp.

Ariff menolak dakwaan Annuar, yang juga ahli Parlimen Ketereh, bahawa Dewan Rakyat memerlukan speaker baharu kerana kerajaan sudah bertukar.

Jelasnya kerajaan boleh memilih menggunakan speaker yang sama biarpun berlaku pertukaran pentadbiran baharu.

Ariff mengulas pandangan Annuar bahawa seorang speaker baharu akan dilantik menggantikan Ariff selepas kerajaan Perikatan Nasional mengambil alih Putrajaya awal minggu ini.

Annuar berkata speaker baharu lazimnya dipilih dalam agenda pertama Parlimen apabila berlaku pertukaran kerajaan.

Oleh itu, sidang Parlimen tentunya tidak akan dapat diadakan seawal April, katanya yang mengulas laporan mengenai tarikh untuk Dewan Rakyat bersidang semula.

Awal hari ini, Ariff memaklumkan persidangan Dewan Rakyat yang sepatutnya bermula pada Isnin ini, ditunda kepada Isnin, 18 Mei.

Katanya, beliau telah menerima surat pemakluman mengenai perkara itu yang ditandatangani Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai Ketua Majlis.

Istiadat pembukaan Parlimen akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 10 pagi, pada hari itu.

Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat akan berlangsung selama 15 hari, iaitu hingga 23 Jun.

Ariff, bekas hakim dan bekas ketua jawatankuasa disiplin Amanah, dilantik sebagai speaker Dewan Rakyat kesembilan menggantikan Pandikar Amin Mulia selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). – 4 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen