Speaker Dewan Rakyat mungkin bertukar, kata Annuar Musa


SM Amin

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata speaker baharu lazimnya dipilih dalam agenda pertama Parlimen apabila berlaku pertukaran kerajaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor HUssain, 4 Mac, 2020.

UMNO menjangka Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu akan dilantik bagi menggantikan Mohamad Ariff Md Yusof dalam sidang Parlimen akan datang selepas kerajaan Perikatan Nasional dibentuk.

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata speaker baharu lazimnya dipilih dalam agenda pertama Parlimen apabila berlaku pertukaran kerajaan.

Oleh itu, sidang Parlimen tentunya tidak akan dapat diadakan seawal April, katanya yang mengulas laporan mengenai tarikh untuk Dewan Rakyat bersidang semula.

“Kita kena faham, tiap-tiap sidang Parlimen ada urusan Parlimen tertentu antaranya, pemilihan speaker, kalau pertukaran kerajaan.

“Mustahil nak bersidang pada April. Sudah tentu kerajaan baru mahu kemukakan notis untuk lantik speaker baru.

“Perlantikan speaker dewan itu ada kuasa tertentu, notis berapa lama, kena berunding, nak calon siapa. Semua ini memerlukan masa,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Umno hari ini.

Bekas ketua jawatankuasa disiplin Amanah, Mohamad Ariff Yusof dilantik sebagai speaker Dewan Rakyat kesembilan menggantikan Pandikar Amin Mulia selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ariff hari ini dilaporkan berkata, Parlimen akan bersidang semula pada 18 Mei dan menerima surat pemakluman mengenai tarikh baru itu malam tadi.

Dewan pada asalnya dijadualkan bersidang bermula Isnin depan hingga 16 April, tetapi krisis politik minggu lalu menimbulkan persoalan sama ada prosiding akan berlaku seperti dirancang.

Pada Ahad, Ariff dilaporkan berkata beliau akan menulis kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bertanya sama ada persidangan akan diteruskan seperti yang dijadualkan atau ditangguhkan. – 4 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen