MUHYIDDIN Yassin digesa untuk mencontohi Hussein Onn yang mengadakan sidang tergempar di Parlimen bagi menentukan kesahihannya sebagai perdana menteri.
Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang membuat gesaan itu berkata, keputusan Muhyiddin untuk menangguhkan sidang Dewan Rakyat dari 9 Mac ke 18 Mei depan merupakan petanda kelemahan.
“Ini ditafsirkan sebagai ‘tanda kelemahan’ bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak memiliki sokongan majoriti daripada ahli Parlimen untuk menjadi perdana menteri Malaysia yang sah.
“Mengadakan sidang Parlimen di bulan puasa menimbulkan persoalan kerana ia merupakan kali pertama dalam sejarah negara sejak enam dekad lalu sidang Parlimen diadakan pada bulan puasa.
“Mengapa tidak Parlimen bersidang dan tamatkan sebelum permulaan bulan puasa, yang dijangka bermula pada 25 April, 2020?” kata Lim dalam satu kenyataan.
Tambah ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, presiden Bersatu perlu mencontohi perdana menteri ketiga Hussein Onn untuk menyatakan beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen.
Lim berkata, Hussein mengadakan sidang Parlimen tergempar pada 26 Januari, 1976 – hanya 11 hari selepas beliau dilantik sebagai perdana menteri ketiga selepas kematian Tun Razak bagi menunjukkan beliau mempunyai sokongan ahli Parlimen.
“Hanya selepas undi percaya terhadapnya sebagai perdana menteri Malaysia diluluskan Dewan Rakyat pada 26 Januari, 1976, barulah Parlimen meneruskan urusannya dengan pembukaan Parlimen ditetapkan pada 30 Mac, 1976.
“44 tahun lalu, tiada keraguan atau persoalan berhubung sokongan majoriti ahli Parlimen terhadap Hussein sebagai perdana menteri Malaysia.
“Namun hari ini, ia sangat berbeza, kerana rakyat Malaysia termasuk perdana menteri ke-4 dan ke-7 Dr Mahathir Mohamad, tidak percaya Muhyiddin mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen,” katanya.
Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada Ahad dalam apa yang disifatkan oleh Pakatan Harapan sebagai kerajaan pintu belakang.
PH berkata, ia mendapat sokongan yang cukup untuk kekalkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri walaupun Yang di-Pertuan Agong melantik Muhyiddin.
Tindakan Bersatu keluar daripada PH menyebabkan kejatuhan pakatan pemerintah dan mencetuskan ketidaktentuan berhubung jawatan perdana menteri yang turut menyaksikan parti itu, dengan sokongan Umno dan PAS, membentuk kerajaan persekutuan.
Dr Mahathir dan pemimpin PH lain menggesa Muhyiddin untuk menguji popularitinya pada sidang Parlimen akan datang.
Bagaimanapun hari ini, Speaker Dewan Rakyat Mohammad Ariff Yusof berkata, beliau bersetuju dengan permohonan perdana menteri untuk menangguhkan sidang Parlimen dari 9 Mac ke 18 Mei depan.– 4 Mac, 2020.
Komen