Sidang Dewan Rakyat ditangguh ikut peraturan, kata speaker


Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof berkata beliau menerima surat pemakluman mengenai penangguhan sidang yang ditandatangani Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai Ketua Majlis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2020.

PENANGGUHAN sidang Dewan Rakyat selaras dengan Peraturan 11(2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat, kata Speaker Mohamad Ariff Md Yusof.

Peraturan itu menyebut: “Dengan tertakluk kepada syarat-syarat perenggan (1) (Persidangan Majlis yang mula-mula bagi tiap-tiap penggal hendaklah diadakan di tempat, pada hari dan waktu yang diisytiharkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong), Ketua atau Timbalan Ketua Majlis hendaklah menetapkan, sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap Penggal, tarikh-tarikh Majlis akan bermesyuarat dalam Penggal itu.

“Tetapi disyaratkan iaitu Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan dari semasa ke semasa.”

Ariff dalam satu kenyataan hari ini berkata beliau telah menerima surat pemakluman mengenai penangguhan sidang Dewan Rakyat yang ditandatangani Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai Ketua Majlis.

Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan berlangsung selama 15 hari bermula dari 18 Mei hingga 23 Jun.

Dalam kenyataan yang sama, Ariff berkata Dewan Rakyat tidak bersidang pada 26 hingga 28 Mei kerana Hari Raya Aidilfitri dijangka disambut pada 24 dan 25 Mei, serta perayaan Hari Gawai yang jatuh pada 1 dan 2 Jun.

Dewan juga tidak akan bersidang pada 8 Jun bersempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.

Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat pula dijadual bermula 27 Julai hingga 27 Ogos dengan pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 dijadualkan pada 6 Ogos, kata speaker.

Tiada persidangan pada 30 Julai kerana Hari Raya Aidil Adha yang dijangka jatuh pada 31 Julai, serta pada 19 dan 20 Ogos sempena Awal Muharam.

Mesyuarat Ketiga Dewan Rakyat seterusnya akan diadakan dari 28 September hingga 26 November. Persidangan akan berlangsung selama 36 hari dan menteri kewangan akan membentangkan Belanjawan 2021. – 4 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen