Suhakam diberitahu yang Joshua dan Ruth mangsa kehilangan paksa


Noel Achariam

Adik mangsa percaya kakak mereka dan suaminya diambil secara paksa kerana hubungan mereka terputus tiba-tiba. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2020.

ADIK Ruth Sitepu percaya kakaknya adalah mangsa kehilangan paksa, siasatan Suhakam dimaklumkan hari ini.

Ram Ram Elisabeth, 48, warga Indonesia, berkata beliau percaya kakaknya itu mangsa kehilangan paksa kerana panggilan telefon yang sering dibuatnya terhadap keluarga mereka terhenti tiba-tiba.

“Saya yakin dia diambil secara paksa kerana kami sentiasa berhubungan menerusi telefon.

“Malah jika saya pergi ke mana-mana pun, dia akan sentiasa telefon dan cari kami,” katanya kepada panel siasatan hari ini.

Undang-undang hak asasi antarabangsa mentafsirkan kehilangan paksa sebagai seseorang yang diculik secara rahsia atau dipenjarakan oleh kerajaan atau organisasi politik, atau oleh pihak ketiga dengan kuasa, sokongan atau persetujuan daripada kerajaan atau organisasi politik.

Ram Ram Elisabeth, dan adik lelakinya Iman Setiawan Sitepu, 39, tiba Ahad lalu dari Indonesia untuk menjadi saksi panel siasatan kehilangan kakak mereka Ruth yang merupakan isteri Pastor Joshua Hilmy.

Mereka dijangka akan pulang ke Nambiki di Sumatera Utara sebaik sahaja selesai memberi keterangan.

Dalam prosiding hari ini, Ram Ram ditanya pegawai Suhakam berapa kerap Ruth menelefon mereka.

Ram Ram memberitahu panel yang Ruth sentiasa berhubungan dengan keluarga yang menetap di Nambiki, Sumatera Utara.

“Dia telefon sekurang-kurangnya dua kali sebulan dan kedengaran sentiasa gembira. Dia juga selalu minta kami melawatnya di Malaysia.”

Pegawai Suhakam kemudiannya bertanya bagaimana Ram Ram menyedari Ruth sudah hilang.

Katanya, berita kehilangan itu diterima daripada anak saudara mereka, Henry, yang bekerja di Malaysia dan sentiasa berhubungan dengan Ruth. – 4 Mac, 2020.

Berita penuh di sini.

 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen