Kabinet perlu majmuk, ada profesional, kata Hadi


Kabinet majmuk dan profesional boleh membantu kerajaan mengukuhkan ekonomi dan meningkatkan kualiti pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat, kata Hadi Awang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2020.

KABINET baharu Muhyiddin Yassin wajar terdiri daripada barisan pemimpin berbilang kaum yang berintegriti, berkelayakan dan berkemahiran, kata Hadi Awang, hari ini.

Presiden PAS itu dalam satu kenyataan berkata barisan Kabinet kerajaan baharu juga perlu melibatkan golongan profesional yang boleh membantu kerajaan mengukuhkan ekonomi dan meningkatkan kualiti pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat.

Beliau juga berharap Kabinet Muhyiddin dapat mewujudkan fungsi “hisbah” dalam pentadbiran.

“Saya menegaskan PAS menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan YAB perdana menteri untuk membentuk Jemaah Menteri dalam masa terdekat ini, tanpa sebarang syarat dan permintaan,” katanya.

Presiden Bersatu Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri pada Ahad lepas.

Kerajaan baharunya terbentuk dengan sokongan PAS dan Umno serta kumpulan bekas pemimpin PKR diketuai Azmin Ali, kerjasama itu kini dikenali sebagai Perikatan Nasional.

Dalam perutusan khas pertamanya kepada rakyat awal minggu ini, Muhyiddin berkata keutamaan pentadbirannya adalah sektor pendidikan dan kesihatan serta menyelesaikan masalah rakyat.

Beliau juga berikrar barisan Kabinetnya akan terdiri daripada pemimpin yang “bersih”.

“Saya juga sedar bahawa apa yang rakyat mahu ialah sebuah kerajaan yang bersih, berintegriti dan bebas rasuah.

“Buat permulaan ini, saya berjanji akan melantik anggota jemaah menteri dari kalangan individu yang bersih, berintegriti dan berkaliber,” katanya. – 4 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen