Muhyiddin beri jaminan bentuk kerajaan bersih


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membayangkan tidak akan melantik ahli Parlimen yang sedang dibicarakan atas pelbagai tuduhan jenayah ke Kabinet. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mac, 2020.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin memberi jaminan akan membentuk kerajaan bersih dan anggota menteri yang bebas daripada rasuah.

Beliau menyatakan jaminan itu ucapan umum pertamanya kepada rakyat Malaysia hari ini selepas berjaya dilantik menjad perdana menteri dengan sokongan ahli Parlimenn Umno dan PAS.

“Saya juga sedar bahawa apa yang rakyat mahu ialah sebuah kerajaan yang bersih, berintegriti dan bebas rasuah.

“Buat permulaan ini, saya berjanji akan melantik anggota jemaah menteri dari kalangan individu yang bersih, berintegriti dan berkaliber,” katanya.

Ikrar itu bagi menjawab kebimbangan bahawa beliau akan melantik kalangan ahli Parlimen yang sedang dibicarakan atas pelbagai tuduhan salah laku di mahkamah ke Kabinet.

Antara tumpuan utama adalah bekas perdana menteri Najib Razak dan timbalannya Zahid Hamidi yang kinni dibicarakan atas pelbagai tuduhan rasuah, salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah.

Umno hari ini juga menyatakan jaminan agar kerajaan Muafakat Nasional yang baharu dibentuk tidak mencampuri urusan mahkamah atau menggurskan tuduhan kes berprofil tinggi melibatkan parti itu.

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata sistem peraturan perundangan dan pengasingan kuasa di antara eksekutif, legislatif dan kehakiman perlu dihormati.

Tegasnya ia tidak harus dicampur aduk demi kepentingan politik dan pada masa sama, beliau juga berkata pemimpin parti tidak lagi harus diheret ke mahkamah tanpa bukti dan sebab kukuh.

Zahid pula yang juga presiden Umno dalam satu lagi kenyataan menyatakan ikrar untuk membersihkan namanya di mahkamah dan tidak akan memohon untuk menggugurkan pertuduhan ke atasnya.

Katanya, perbicaraan kesnya akan diteruskan esok dan tidak akan digugurkan sama sekali seperti kes lain sebelum ini.

Perbicaraan membabitkan kes rasuah jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi ditangguhkan hari ini, didakwa bagi membolehkan Zahid bertemu perdana menteri baharu.

Zahid, 67, dituduh menerima rasuah bagi meluluskan kontrak bekalan cip pasport untuk beberapa syarikat swasta. Beliau berdepan 47 pertuduhan, termasuk 27 dakwaan pengubahan wang haram. – 2 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen