Simpati terhadap Pakatan boleh jejaskan PAS, Umno dalam pilihan raya


Sheridan Mahavera

Sentimen pengundi terhadap PAS dan Umno sudah berubah sejak seminggu lalu yang menjadi sebahagian daripada pembentukan 'kerajaan pintu belakang'. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mac, 2020.

DI atas kertas, gabungan PAS-Umno akan menang jika pilihan raya semula diadakan dengan imej nasionalisme Melayu dimainkan dengan baik di 95 kerusi yang mempunyai majoriti lebih 70% pengundi Melayu, kata Ilham Centre.

Bagaimanapun, secara praktikalnya, tiada siapa boleh meramalkan bagaimana pengundi akan bertindak balas terhadap semua parti, yang membantu pengkhianat daripada Pakatan Harapan (PH) menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik.

Ilham Centre berkata sentimen terhadap parti dalam Muafakat Nasional iaitu PAS dan Umno serta PH yang digulingkan sudah berubah sejak seminggu lalu, apabila negara hilang kerajaan melalui pembelotan.

Simpati terhadap PH boleh menjejaskan populariti Muafakat Nasional yang semakin meningkat dan menaikkan kedudukan bekas kerajaan di kalangan pengundi, mengakibatkan kedua-dua pihak mempunyai peluang setara dalam pilihan raya semula.

Selain itu, komposisi kerajaan Perikatan Nasional yang baru akan membawa kepada ketidakstabilan dalam pilihan raya umum kerana tiga parti utamanya, iaitu Umno, PAS dan Bersatu memerlukan pengundi daripada pangkalan undi yang sama.

Ini akan menjadikan rundingan kerusi di antara mereka sukar, kata penganalisis, menunjukkan bagaimana ketidakupayaan untuk mencapai persetujuan menjejaskan peluang parti dalam pilihan raya lalu.

Sebelum peristiwa memalukan pada 24 Februari, penerimaan umum terhadap PH adalah kurang 40% disebabkan oleh ekonomi yang lembap dan kegagalannya menunaikan janji utama pilihan raya.

Beberapa kekalahan dalam pilihan raya kecil juga menunjukkan kebangkitan Muafakat Nasional.

“Tetapi sentimen terhadap Muafakat Nasional berubah apabila diketahui ia sebahagian daripada ‘Langkah Sheraton’ untuk membentuk kerajaan pintu belakang,” kata Mohd Azlan Zainal daripada Ilham Centre.

“Sembang di media sosial sangat negatif terhadap Azmin dan Bersatu. Tidak kira apa kata mereka atau penyokong, mereka dipanggil pengkhianat,” kata Azlan, merujuk kepada Mohamed Azmin Ali, bekas menteri dan pemimpin kanan PH.

Azmin yang merupakan pemimpin nombor dua PKR, meninggalkan parti dan membawa bersama 10 ahli Parlimennya minggu lepas.

Pada hari yang sama, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin - yang kini menjadi perdana menteri - membawa parti dan 26 ahli Parlimennya keluar daripada PH.

Azmin dan Muhyiddin bekerjasama dengan bekas parti pembangkang PAS dan Umno untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

Bagaimanapun, PH bersedia untuk mencabar blok baru yang mendakwa mendapat sokongan majoriti di Parlimen, dengan berkata beberapa ahli Parlimen yang menyokong Muhyiddin sudah mengubah pendirian mereka. – 5 Mac, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen