MENDESAK dan berunding jawatan menteri dalam Kabinet baharu tidak pernah jadi keutamaan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata Abang Johari Openg.
Ketua menteri berkata sebaliknya keutamaan GPS adalah untuk mengakhiri kemelut politik yang melanda negara minggu lepas.
“Pertama-tamanya, kalau ada (jemputan untuk sertai Kabinet), saya akan teliti dahulu. Tetapi, itu bukan keutamaan,” katanya kepada wartawan apabila ditanya tentang jawatan menteri yang ditawarkan kepada GPS sebagai penghargaan sokongan mereka.
“Negara jadi keutamaan,” katanya selepas hadir forum antara agama di Kuching, hari ini.
GPS sebelum ini berkata mereka bukanlah komponen Perikatan Nasional yang baharu dibentuk, tetapi hanya menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.
Pejabat Ketua Menteri dalam kenyataannya berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS) hanya entiti politik di Sarawak yang menyokong Muhyiddin demi kepentingan negara dan menyelamatkan Malaysia dari ketidakstabilan politik tanpa menggadaikan kepentingan Sarawak. – 3 Mac, 2020.
Komen