Kami bukan ahli Perikatan Nasional, GPS ingatkan Muhyiddin


Desmond Davidson

Kerajaan Sarawak menegaskan mereka bukan ahli Perikatan Nasional walaupun memberi sokongan kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Februari, 2020.

KERAJAAN Sarawak menegaskan mereka bukan ahli Perikatan Nasional walaupun memberi sokongan kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Pejabat Ketua Menteri dalam kenyataannya berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS) hanya entiti politik di Sarawak yang menyokong Muhyiddin demi kepentingan negara dan menyelamatkan Malaysia dari ketidakstabilan politik tanpa menggadaikan kepentingan Sarawak.

Muhyiddin, dalam sidang media selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menjadi perdana menteri, dilaporkan berkata GPS, yang mempunyai 18 ahli Parlimen, sebagai ahli Perikatan Nasional.

“Pada ketika ini, GPS hanya menjadi parti politik yang mesra kepada Perikatan Nasional,” kata kerajaan pimpinan GPS dalam kenyataan itu sambil mengucapkan tahniah kepada Muhyiddin kerana dilantik menjadi perdana menteri kelapan.

Terdahulu, Ahli Parlimen Santubong dari GPS, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata GPS menarik sokongan mereka terhadap Dr Mahathir Mohamad disebabkan DAP.

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg  awal hari ini sekali lagi menegaskan pendirian bahawa GPS tidak akan bekerjasama dengan DAP dengan menyifatkan tindakan itu sebagai langkah bodoh.

Abang Johari berkata DAP sudah lama menuduh GPS tidak mampu mentadbir negeri malah meramalkan Sarawak akan muflis dalam tempoh tiga tahun lagi.

Katanya, ini adalah rancangan jahat DAP Sarawak dalam kempen pilihan raya negeri akan datang.

“Bodoh kita untuk sokong parti sebegitu,” katanya pada pelancaran GPS Zon Belaga dan Murum di Belaga, hari ini.  – 29 Februari, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen