GPS bincang secara dalam talian sebelum pilih Muhyiddin


Desmond Davidson

Ahli Parlimen Santubong Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengulas mengenai perbincangan GPS tentang pemilihan calon perdana menteri untuk dipersembahkan kepada Agong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Februari, 2020.

PEMIMPIN Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengadakan pertemuan lewat malam semalam sebelum mengambil keputusan untuk menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, kata Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Ahli Parlimen Santubong itu memberitahu The Malaysian Insight bahawa mereka terpaksa mengadakan pertemuan secara dalam talian memandangkan Yang di-Pertuan Agong mahu wakil parti politik memberi jawapan tentang pilihan masing-masing hari ini.

Pemimpin GPS sepatutnya mengadakan pertemuan di Kuala Lumpur pada Ahad.

“Ini disebabkan kekangan masa kerana Agong mahu menyelesaikan kebuntuan dengan segera. (Jadi) Kita mengadakan pertemuan secara dalam talian dan memilih Muhyiddin,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik presiden Bersatu itu sebagai perdana menteri kelapan hari ini selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin parti awal pagi ini.

Muhyiddin dijadual mengangkat sumpah sebagai perdana menteri di Istana Negara pada 10.30 pagi esok.

Ditanya sebab GPS menarik sokongan mereka terhadap Dr Mahathir Mohamad, Wan Junaidi berkata ianya disebabkan DAP.

DAP hari ini dilaporkan kembali menyokong Dr Mahathir sebagai perdana menteri, sekali gus mengenepikan Presiden PRK Anwar Ibrahim.

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg  awal hari ini sekali lagi menegaskan pendirian bahawa GPS tidak akan bekerjasama dengan DAP dengan menyifatkan tindakan itu sebagai langkah bodoh.

Abang Johari berkata DAP sudah lama menuduh GPS tidak mampu mentadbir negeri malah meramalkan Sarawak akan muflis dalam tempoh tiga tahun lagi.

Katanya, ini adalah rancangan jahat DAP Sarawak dalam kempen pilihan raya negeri akan datang.

“Bodoh kita untuk sokong parti sebegitu,” katanya pada pelancaran GPS Zon Belaga dan Murum di Belaga, hari ini.

Beliau merujuk kepada kenyataan dibuat DAP Sarawak dan Ketua PH negeri Chon Chieng Jen yang berkata DAP Sarawak bersedia “mengetepikan semua perbezaan” untuk bekerjasama dengan GPS demi kepentingan negara.

Abang Johari berkata beliau mempunyai masalah dengan dakwaan Setiausaha Agung DAP Lim Guang Eng pada Jun tahun lepas, yang mendakwa Sarawak di bawah pentadbiran GPS akan muflis dalam tempoh tiga tahun lagi.

Lim adalah menteri kewangan sebelum kejatuhan kerajaan PH pusat minggu ini.

Lim ketika itu berkata, dengan belanjawan tahunan negeri mencecah RM11 bilion, rizab simpanan Sarawak sebanyak RM30 bilion akan habis dalam tempoh tiga tahun.

Awal minggu ini, beliau berkata adalah lebih baik GPS bekerjasama dengan PAS berbanding DAP.

Wan Junaidi juga bersetuju bahawa lebih mudah bekerjasama dengan PAS berbanding parti yang didominasi kaum Cina itu.

Beliau berkata PAS yang ada hari ini sama seperti PAS sebelum ini.

“Mereka (PAS) lebih fleksibel berbanding DAP. Kita juga sudah lihat apa yang DAP lakukan.

“DAP lebih minat berpolitik berbanding menjaga kementerian.” – 29 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen