SELVAKUMAR Peace John Harris hari ini akan menyambung beri keterangan pada siasatan awam terhadap kehilangan Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu.
Semasa memberi keterangan pada panel siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) semalam, Selvakumar mendakwa bekas menteri belia dan sukan Khairy Jamaluddin memberi amaran kepada Joshua supaya meninggalkan negara kerana membaptis beberapa orang Islam.
Khairy menafikan dakwaan Selvakumar semalam.
Selvakumar, saksi kelima dalam siasatan awam bagi menyiasat kes Joshua dan Ruth yang hilang pada 30 November 2016. Pasangan itu kali terakhir dilihat di Petaling Jaya.
Saksi itu merupakan pemilik rumah yang didiami Joshua dan Ruth di Petaling Jaya. Selvakumar membenarkan mereka tinggal di rumah itu secara percuma.
Dalam keterangannya semalam, saksi berkata Joshua menunjukkan kepadanya kiriman e-mel yang didakwa dari Khairy, yang mengandungi amaran supaya meninggalkakn negara.
Ahli Parlimen Rembau itu menafikan dakwaan saksi, menegaskan beliau tidak pernah menghantar sebarang e-mel atau berhubung dengan Joshua.
Beliau juga berkata tidak pernah mengenali Joshua, Ruth ataupun Selvakumar.
Saksi lain yang dijangka dipanggil untuk beri keterangan adalah adik-beradik Ruth, Ram Ram Elisabeth dan Iman Setiawan Sitepu, yang berasal dari Indonesia.
Tidak banyak maklumat mengenai Joshua dan Ruth. Dua tahun selepas kehilangan mereka, adik-beradik Ruth membuat laporan polis pada 2018.
Keluarga Ruth berasal dari kampung nelayan Nambiki di utara Sumatera, Indonesia.
Undang-undang hak asasi antarabangsa mentafsirkan kehilangan paksa sebagai seseorang yang diculik secara rahsia atau dipenjarakan oleh kerajaan atau organisasi politik, atau oleh pihak ketiga dengan kuasa, sokongan atau persetujuan daripada kerajaan atau organisasi politik.
Panel siasatan awam Suhakam dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Suhakam Hishamuddin Yunus, dibantu oleh Pesuruhjaya Jerald Joseph dan Madeline Berma. – 3 Mac, 2020.
Komen