Khairy dinamakan sebagai penghantar e-mel minta Pastor Joshua tinggalkan negara


Noel Achariam

Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu dilaporkan hilang sejak 2016. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 2 Mac, 2020.

BEKAS menteri Khairy Jamaluddin dinamakan dalam siasatan mengenai kes kehilangan Pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth Sitepu kerana didakwa menghantar e-mel amaran kepada pasangan itu untuk meninggalkan negara.

Saksi Selvakumar Saksi John Harris, pemilik rumah di Petaling Jaya di mana Joshua dan Ruth tinggal, memberitahu pendengaran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini yang mendakwa Khairy ada menghantar beberapa e-mel kepada Joshua.

E-mel dan amaran agar meninggalkan negara itu berhubung dakwaan Joshua memurtadkan orang Islam kepada Kristian, menurut Selvakumar.

“Joshua menelefon saya pada Disember 2015 dan memberitahu yang Khairy mengugutnya.

“Beliau (Khairy) menghantar e-mel kepada Joshua dah menyuruhnya meninggalkan negara.

“Saya percaya ini berkaitan pasangan Melayu yang dibaptis oleh Joshua di rumah pada Januari 2015,” Selvakumar memberitahu siasatan.

The Malaysian Insight menghubungi pembantu ahli Parlimen Rembau itu untuk maklum balas.

Selvakumar adalah saksi kelima yang memberi keterangan dalam siasatan awam Suhakam berhubung kehilangan Joshua dan Ruth pada 30 November 2016. Mereka dilihat kali terakhir di Petaling Jaya.

Pesuruhjaya Suhakam, Hishamuddin Yunus, yang mempengerusikan siasatan kemudian bertanya kepada Selvakumar bagaimana beliau tahu e-mel itu daripada Khairy.

Beliau menjawab, pernah melihat e-mel daripada Khairy pada Mei 2016 ketika Joshua melawatnya di Sungai Bakam, Butterworth.

Satu e-mel mempunyai alamat rasmi dan beberapa yang lain daripada alamat e-mel peribadi.

“Dalam salah satu e-mel, saya melihat ada ‘gov.my’ pada bahagian hujungnya dan ketika itu saya tahu ia adalah rasmi.

“E-melnya bermula dengan nada mesra, kemudian berakhir dengan amaran,” Selvakumar memberitahu siasatan itu.

Hishamuddin kemudian bertanya kepada Selvakumar mengenai pasangan Melayu yang dibaptis dan bagaimana beliau tahu e-mel itu mengenai pasangan terbabit.

“Saya melihat e-mel yang mempunyai nama pasangan itu,” kata saksi.

Selvakumar menambah beliau menjadi saksi Joshua membaptis pasangan Melayu di rumahnya pada 1 Januari 2015.

“Saya menyaksikan sendiri pembaptisan yang berlaku di bilik mandi, tempat mereka menggunakan pancuran mandian dan berdoa.

“Beliau (Joshua) kemudian memuat naik gambar pembaptisan di Facebook.

“Ia bukan kali pertama, saya fikir beliau sudah membaptis ramai lagi orang Melayu, kira-kira lebih 10 orang.”

Selvakumar juga memberitahu siasatan yang Joshua tahu pihak berkuasa mencarinya dan memutuskan untuk meninggalkan rumah itu.

Beliau membenarkan Joshua dan Ruth tinggal di rumah tanpa bayaran selepas bertemu mereka di sebuah gereja dan berkenalan di Butterworth pada 2014.

“Ruth berceramah di Gereja St Mary di Butterworth. Saya mengenali mereka dan selepas kira-kira sebulan, saya menjemput ke rumah saya. Ketika itu saya menawarkan kepada mereka rumah saya di Petaling Jaya secara percuma kerana mereka merancang untuk berada di Kuala Lumpur,” kata Selvakumar.

Tidak banyak yang diketahui mengenai Joshua dan Ruth. Dua tahun selepas kehilangan mereka, adik-beradik Ruth membuat laporan polis pada 2018.

Keluarga Ruth berasal dari kampung nelayan Nambiki di utara Sumatera, Indonesia.

Undang-undang hak asasi antarabangsa mendefinisikan kehilangan paksa apabila seseorang diculik secara rahsia atau dipenjarakan oleh kerajaan atau organisasi politik, atau oleh pihak ketiga dengan pemberian kuasa, sokongan atau persetujuan kerajaan atau organisasi politik. –2 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen