YANG Dipertua Negeri Melaka Dr Mohd Khalil Yaakob menolak permintaan Ketua Menteri Adly Zahari untuk membubar Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Yang Dipertua Negeri dimaklumkan bahawa Adly tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan Adun Melaka.
“Oleh itu beliau mesti meletakan jawatan mengikut Peraturan 7 (4) Perlembagaan Negeri Melaka,” kata Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Hashim Hasan dalam satu kenyataan hari ini.
Adly dari Pakatan Harapan (PH) meminta Yang Dipertua Negeri Melaka membubarkan DUN hari ini berikutan pengunduran Bersatu pada 24 Februari dan pembelotan Adun DAP dan ahli parlimen PKR.
Terdahulu hari ini Ketua Perhubungan Umno Melaka Ab Rauf Yusof berkata Perikatan Nasional bersedia membentuk kerajaan di Melaka dengan sokongan dua wakil dari Pakatan Harapan.
Rauf Yusof berkata pakatan itu termasuk dua Adun daripada Bersatu, seorang Adun PKR dan seorang lagi daripada DAP menyatakan sokongan kepada gabungan baharu itu.
“Dua Adun bersatu adalah Mohd Rafiq Naizamohideen dan Noor Effandi Ahmad manaka dua lagi daripada PKR dan DAP masing-masing Muhammad Jailani Khamis dan Norhizam Hassan Baktee.
“Dengan perkembangan ini, Perikatan Nasional kini mempunyai 17 kerusi DUN berbanding 11 kerusi DUN yang dikuasai Pakatan Harapan PH),” katanya.
Melaka akan menjadi negeri kedua Pakatan Harapan yang tumbang selepas Johor pada 27 Februari. – 2 Mac, 2020.
Komen