MELAKA menjadi negeri pertama yang mengadakan pilihan raya baharu selepas pergolakan politik minggu lalu bermula dengan pengunduran Bersatu dari Pakatan Harapan.
“Pada jam 4.30 petang hari ini (2 Mac), saya meminta Yang Dipertua Negeri Melaka Dr Mohd Khalil Yaakob untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka selaras dengan Peraturan 7 (4) Perlembagaan Negeri Melaka,” kata Ketua Menteri Adly Zahari dalam satu kenyataan hari ini.
Kerajaan Pakatan Harapan di negeri itu bakal tumbang selepas Bersatu keluar dari pakatan itu pada 24 Februari.
Terdahulu hari ini Ketua Perhubungan Umno Melaka Ab Rauf Yusof berkata Perikatan Nasional bersedia membentuk kerajaan di Melaka dengan sokongan dua wakil dari Pakatan Harapan.
Rauf Yusof berkata pakatan itu termasuk dua Adun daripada Bersatu, seorang Adun PKR dan seorang lagi daripada DAP menyatakan sokongan kepada gabungan baharu itu.
“Dua Adun bersatu adalah Mohd Rafiq Naizamohideen dan Noor Effandi Ahmad manaka dua lagi daripada PKR dan DAP masing-masing Muhammad Jailani Khamis dan Norhizam Hassan Baktee.
“Dengan perkembangan ini, Perikatan Nasional kini mempunyai 17 kerusi DUN berbanding 11 kerusi DUN yang dikuasai Pakatan Harapan PH),” katanya.
Melaka akan menjadi negeri kedua Pakatan Harapan yang tumbang selepas Johor pada 27 Februari. – 2 Mac, 2020.
Komen