Tarik lesen hotel diskriminasi wanita bertudung, kata PKR 


Amin Iskandar

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata ini bagi memastikan tiadanya polisi syarikat yang bersifat diskriminatif terhadap amalan agama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2017.

PUTRAJAYA seharusnya mengambil tindakan seperti menarik kembali lesen hotel yang melaksanakan polisi diskriminatif terhadap wanita bertudung, kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, ini bagi memastikan tiadanya polisi syarikat yang bersifat diskriminatif terhadap amalan agama.

“Jika sememangnya larangan pekerja bertudung merupakan polisi syarikat terutamanya hotel antarabangsa, kementerian pelacongan harus mempertimbangkan untuk menarik kembali lesen mereka untuk beroperasi,” kata Nurul Izzah kepada The Malaysian Insight.

“Kerajaan harus jawab bagaimana mereka membenarkan hotel antarabangsa untuk melakukan diskriminasi terhadap amalan agama”.

Hari ini The Malaysian Insight melaporkan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mempertahankan tindakan operator hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan (frontline), menegaskan ia sebahagian daripada polisi antarabangsa dan bukannya diskriminasi. 

Presidennya MAH Cheah Swee Hee berkata setiap hotel terutamanya hotel antarabangsa di Malaysia mempunyai standard operasi (SOP) dan polisi syarikat yang ditetapkan.

“Kita tidak boleh gunakan ayat diskriminasi (isu larangan tudung). Ia kerana syarikat ada polisi masing-masing. Jadi, ada banyak hotel juga menerima mereka yang berhijab.

“Ia lebih kepada polisi dan SOP yang digunakan hotel di seluruh dunia. Ia bukan (Islamicphobia) kerana sudah dibuat sejak awal lagi. Jadi, mereka ada SOP,” katanya ketika dihubungi bagi menjawab mengenai pandangan yang larangan itu sebagai satu tindakan diskriminasi dan Islamicphobia. 

Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) baru-baru ini mendedahkan kakitangan hotel mengadu kepada mereka mengenai diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam yang diarahkan menanggalkan tudung mereka.

Uni-MLC berkata ini berlaku juga kepada pelajar yang menghadiri kursus perhotelan dan pelancongan apabila mereka cuba memohon latihan amali.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan juga membantah larangan tersebut kerana jelas satu tindakan diskriminasikan terhadap wanita Islam dan berkata mangsa terlibat perlu berani menyuarakan penindasan yang berlaku kerana pihak MEF hanya mampu menasihati majikan-majikan di bawah persatuannya. – 11 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen