Larangan pekerja bertudung polisi antarabangsa


Nabihah Hamid

Setiap hotel terutamanya hotel antarabangsa di Malaysia mempunyai standard operasi dan polisi syarikat yang ditetapkan. – Gambar EPA, 11 November, 2017.

PERSATUAN Hotel Malaysia (MAH) mempertahankan tindakan operator hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan (frontline), menegaskan ia sebahagian daripada polisi antarabangsa dan bukannya diskriminasi. 

Presidennya, Cheah Swee Hee berkata setiap hotel terutamanya hotel antarabangsa di Malaysia mempunyai standard operasi (SOP) dan polisi syarikat yang ditetapkan.

“Kita tidak boleh gunakan ayat diskriminasi (isu larangan tudung). Ia kerana syarikat ada polisi masing-masing. Jadi, ada banyak hotel juga menerima mereka yang berhijab.

“Ia lebih kepada polisi dan SOP yang digunakan hotel di seluruh dunia. Ia bukan (Islamofobia) kerana sudah dibuat sejak awal lagi. Jadi, mereka ada SOP,” katanya ketika dihubungi bagi menjawab mengenai pandangan yang larangan itu sebagai satu tindakan diskriminasi dan Islamicphobia.

Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) baru-baru ini mendedahkan kakitangan hotel mengadu kepada pusat mengenai diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam yang diarahkan menanggalkan tudung mereka.

Pusat berkata ini berlaku juga kepada pelajar yang menghadiri kursus perhotelan dan pelancongan apabila mereka cuba memohon latihan amali.

Wanita Antarabangsa Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq) juga menggesa pekerja wanita melaporkan kes tersebut kepada mereka.

Wafiq dalam kenyataan baru-baru ini kepada media berkata tidak ada penjelasan yang munasabah tentang mengapa bertudung menjadi penghalang untuk bekerja.

“Hanya kerana berada di sektor swasta tidak mengecualikan pihak itu daripada menghormati hak seseorang untuk mengamalkan keperluan agama mereka.

“Kami mempersoalkan keperluan sekatan di Malaysia di mana umat Islam merupakan majoriti penduduk. Ini juga mencerminkan dasar kepelbagaian dan kesamaan syarikat yang teruk,” kata Wafiq.

Ia menambahkan pekerja wanita atau pelajar dalam situasi seperti itu tidak mudah untuk membuat laporan kerana ia merisikokan pekerjaan atau latihan amali mereka.

Cheah mengakui amalan larangan bertudung berlaku di hotel-hotel di Malaysia namun tidak mempunyai data mengenainya.

Bagaimanapun, katanya ia tidak menjadi masalah besar kepada wanita bertudung memandangkan banyak hotel lain yang menawarkan pekerjaan sama.

“Saya juga katakan kepada pelajar, kamu boleh cari (kerja) yang boleh menerima. Jadi, memang ada hotel-hotel yang terima (pekerja bertudung) sebagai penyambut tetamu, tidak ada masalah.

Bagaimanapun Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan membantah larangan tersebut kerana jelas satu tindakan diskriminasikan terhadap wanita Islam.

“Saya merasakan apa juga polisi yang dibuat syarikat antarabangsa hendaklah mengambil kira tentang sensitiviti tempatan.

“Saya tidak setuju dengan keadaan itu dan kalau itu berlaku saya rasa pekerja itu boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa dan harus diambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Namun, Shamsudin mangsa terlibat perlu berani menyuarakan penindasan yang berlaku kerana pihak MEF hanya mampu menasihati majikan-majikan di bawah persatuannya.

“Kita telah menasihatkan ahli-ahli supaya menghormati sensitiviti agama dan keperluan pekerja mengikut adat-adat mereka.

“Kita tahu mengenainya tapi pada akhirnya terpulang kepada individu untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa kerana MEF kita tidak kuasa mengambil tindakan kepada ahli-ahli kita,” katanya.

Dalam pada itu, Wafiq mahu memanjangkan isu ini keperingkat kementerian untuk membela nasib pekerja wanita.

Presidennya, Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata setakat ini pihaknya menerima empat aduan secara langsung dan puluhan rintihan di laman Facebooknya.

“Ia bagaikan suatu kekurangan bagi hotel antarabangsa untuk mempunyai standard sedemikian kerana kita mempunyai banyak graduan universitii daripada jurusan perhotelan dan pelancongan.

“Ia adalah diskriminasi terhadap masyarakat kita dalam pengambilan kerja mahupun latihan amali. Saya akan panjangkan hal ini diperingkat kementerian,” katanya melalui WhatApp kepada The Malaysian Insight.

Syukri, seorang pengurus banquet hotel di Kuala Lumpur mengakui amalan larangan bertudung sudah berlaku sejak 10 tahun lalu.

“Masa saya kerja di sebuah hotel di KL. Saya jadi ketua banquet, memang pekerja tak dibenarkan pakai tudung sebab untuk tarikan pelanggan.

“Kalau ada yang memohon kerja sebagai pelayan, dikenakan syarat tidak boleh memakai tudung. Bagi mereka memakai tudung bukanlah fesyen dan tiada tarikan,” katanya yang enggan memberikan nama penuh.

Tidak tahan dengan perkara tersebut, beliau sejak tiga tahun lalu bertukar ke hotel yang tidak mengamalkan diskriminasi tersebut.

“Hotel dahulu walaupun sudah bertukar nama tapi masih tidak menerima pekerja bertudung. Saya tukar ke tempat lain pun sebab tidak mahu bersubahat.

“Sebab saya yang selalunya memilih pekerja sementara bagi majlis hotel dan perlu memberitahu syarat tidak boleh bertudung,” katanya.

Syukri menjelaskan isu larangan bertudung selalunya melibatkan pekerja operasi makanan (pelayan) dan barisan hadapan hotel seperti penyambut tetamu.

Sementara itu, Farisha yang bertugas sebagaipenyambut tetamu di hotel lima bintang di Putrajaya berkata tidak mempunyai pilihan selain membuka tudung.

“Dulu memang saya tidak bertudung semasa mula-mula kerja. Tetapi selepas mempunyai anak, saya mula berhijab. Tetapi untuk berada di frontliner (penyambut tetamu) hotel ini memang tidak boleh bertudung.

“Sekarang, lepas balik kerja, saya akan pakai tudung. Hanya semasa bekerja sahaja saya tidak memakainya. Apa nak buat sekarang ini kerja pun susah nak cari.

“Alasan yang selalu diberi adalah kerana imej hotel antarabangsa,” kata Farisha yang sudah setahun bekerja di Putrajaya. – 11 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen