HANYA Yang Di Pertuan Agong berhak mendedahkan jumlah sokongan untuk membentuk kerajaan, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Tambahnya, tidak sopan untuk Pakatan Harapan mendedahkan jumlah ahli Parlimen yang menyokong mereka kepada umum.
“Ini budi bicara Agong, membincangkan mengenai jumlah sokongan (kerusi Parlimen) pada masa sekarang adalah sangat tidak sopan dan tidak elok,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya, hari ini.
Jumlah sokongan itu menjadi tumpuan ramai selepas Yang Di-Pertuan Agong memanggil 222 ahli Parlimen menghadap selepas kerajaan PH runtuh setelah Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan perdana menteri dan Bersatu bertindak keluar daripada gabungan itu, Isnin lalu.
Dr Mahathir turut mengumumkan beliau melepaskan jawatan selaku pengerusi Bersatu.
Sebelum itu, pada sidang media sama, Anwar turut mengumumkan keputusan Majlis Presiden PH yang menamakannya sebagai perdana menteri untuk menggantikan Dr Mahathir Mohamad yang meletak jawatan Ahad lalu.
Semalam Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad meluahkan keyakinan yang PH akan dapat mengekalkan majoriti mudah di Dewan Rakyat seterusnya menolak desakan Umno dan PAS yang mahu pilihan raya umum mengejut diadakan.
“Mengapa kita perlu bazirkan wang untuk pilihan raya apabila kita oleh dapat majoriti yang jelas,” katanya.
PH kini hanya memiliki 102 kerusi Parlimen selepas 11 ahli Parlimen PKR diketuai Azmin Ali keluar parti dan Bersatu keluar daripada pakatan pemerintah. – 26 Februari, 2020.
Komen