MEMBUKA mulut sejak peletakan jawatannya daripada PKR, Baru Bian hari ini menafikan dakwaan menyokong penyingkiran Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, sebaliknya menegaskan menyokong penuh beliau untuk memimpin negara.
Baru, yang berkata berada di pedalaman Baram di Bario selama dua hari baru-baru ini bagi memenuhi tugasan yang diatur lebih awal, menyampaikan ucapan tahniah kepada pemimpin berusia 94 tahun itu atas pelantikannya sebagai perdana menteri interim.
Bekas menteri kerja raya itu juga menyeru semua penyokongnya di Sarawak memberi beliau dan dua ahli Parlimen PKR yang turut mengundurkan diri, “sedikit masa” untuk mencari penyelesaian secara aman terhadap kebuntuan politik.
Bekas ketua PKR Sarawak, bersama Ahli Parlimen Saratok Ali Biju dan Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin, meletak jawatan sebagai sokongan kepada bekas timbalan presiden dipecat Mohamed Azmin Ali pada Isnin.
Mereka kini bersama membentuk blok bebas baru.
“Mereka yang memerhatikan kami akan tahu pendirian pasukan kami (penyingkiran Azmin) sangat konsisten dalam tempoh 21 bulan yang lalu dan akan tetap demikian dan Tun (Dr Mahathir) terus menjadi perdana menteri sehingga pilihan raya umum akan datang.”
Baru juga berkata sedar pihak yang menggesa perletakan jawatan Dr Mahathir sudah membuat pusingan U dan kini seiring dengan mereka.
“Ia membuktikan pendirian kami betul selama ini,” katanya dalam satu kenyataan malam ini. – 25 Februari, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen