Wawasan 2020 Dr Mahathir tak tumpu orang muda, kata Khairy


Asila Jalil

Saya ingat pada 1991, bila kerajaan muncul dengan Wawasan 2020, tiada siapa yang tanya apa yang saya mahu. Saya masih orang muda di Malaysia ketika itu, tiada siapa datang jumpa saya. Menteri belia dan sukan ketika itu tak datang jumpa saya, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 9 November, 2017.

AGENDA baru Putrajaya, Transformasi Nasional 2050 (TN50) memberikan lebih tumpuan kepada belia berbanding Wawasan 2020, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin kepada kumpulan orang muda hari ini.

Khairy berkata agenda dan pendekatan TN50 yang lebih memberi tumpuan kepada belia membezakan ia daripada rancangan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang mahu menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020.

Ketua Pemuda Umno itu juga berkata tiada pihak yang mendekati orang muda bertanyakan aspirasi jangka masa panjang mereka untuk negara ketika Wawasan 2020 dibentuk.

“Saya ingat pada 1991, bila kerajaan muncul dengan Wawasan 2020, tiada siapa yang tanya apa yang saya mahu. Saya masih orang muda di Malaysia ketika itu, tiada siapa datang jumpa saya. Menteri belia dan sukan ketika itu tak datang jumpa saya.

“Kita betul-betul percaya yang era di mana kerajaan, pembuat dasar, penjawat awam tahu semua benda sudah berakhir.

“Kita perlu ‘crowdsource’ masa depan daripada rakyat Malaysia dan saya fikir inilah yang terbaik tentang TN50, ia tentang masa depan yang datang daripada rakyat,” katanya pada dialog TN50 dengan orang muda di Kuala Lumpur.

Tetapi Khairy juga memberitahu khalayak seramai 600 orang itu yang TN50 tidak bermaksud menggantikan Wawasan 2020 dan sebaliknya perlu dilihat sebagai penerusan kepada legasi Dr Mahathir.

TN50 bertujuan memastikan pembangunan holistik Malaysia untuk tiga dekad seterusnya, katanya.

“Kita perlu tunjuk yang kita mampu buat dalam tiga dekad akan datang dan inilah pentingnya TN50.

“ Ia (TN50) tidak bermaksud gantikan Wawasan 2020, ia bukan untuk padam legasi tetapi sebaliknya saya lihat ia satu kesinambungan.”

TN50 adalah pelan transformasi 30 tahun Putrajaya untuk negara diumumkan oleh Perdana Menteri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2017 di Dewan Rakyat Oktober tahun lepas.

Wawasan 2020 pula diperkenalkan oleh Dr Mahathir ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-6 pada 1991 bermatlamat untuk menjadikan Malaysia negara maju menjelang tahun 2020.

Sepanjang dialog itu, Khairy berulang kali mengatakan yang dia “adalah anak Wawasan 2020” dan walaupun ia memberi penekanan kepada ekonomi, pembangunan fizikal dan material, ia tidak menekankan kepentingan perlindungan alam sekitar, pembangunan mapan, seni serta sukan.

TN50 sebelum ini dikritik Dr Mahathir yang menyifatkan agenda itu adalah pengakuan kerajaan tidak mampu mencapai Wawasan 2020.

Katanya, TN50 adalah “terlalu jauh” dan kebanyakan rakyat Malaysia kini “sudah tiada” apabila tahun itu tiba. – 9 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen