Bila TN50 tiba, ramai rakyat sudah tiada, kata Dr Mahathir


Looi Sue-Chern

Wawasan 2020 digagaskan Dr Mahathir Mohamad bermatlamat menjadikan Malaysia negara maju industri menjelang 2020 tetapi kini sukar dicapai kerana pelbagai halangan. – Gambar EPA, 24 Ogos, 2017.

AGENDA Transformasi Nasional 2050 (TN50) milik Barisan Nasional (BN) kini adalah pengakuan bahawa kerajaan persekutuan sebenarnya tidak mampu mencapai Wawasan 2020, kata pengasas impian Malaysia itu Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri yang mengasaskan Wawasan 2020 berkata TN50, agenda baru Putrajaya untuk dicapai pada 2050 “terlalu jauh” dan kebanyakan rakyat Malaysia “sudah tiada” ketika masa itu tiba.

TN50 -pelan transformasi baru negara yang dirancang mengambil tempoh 30 tahun- diumumkan Perdana Menteri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2017 di Dewan Rakyat Oktober lepas.

Wawasan 2020 pula diperkenalkan Dr Mahathir pada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-Enam pada 1991. Matlamat wawasan itu adalah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju industri menjelang 2020.

“Mereka yang membentuk TN50 percaya yang mereka tak perlu tanggung kalau ia (TN50) gagal,” katanya pada temubual langsung di Facebook hari ini yang dimuat naik ke dalam laman sesawang Bersatu.

Dr Mahathir kini mengetuai pakatan pembangkang, menjadi pengerusi Bersatu dan Pakatan Harapan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berkaitan Wawasan 2020 yang dibacakan Ketua Wanita Bersatu, Rina Harun.

“Usaha kini hanyalah untuk mengalihkan perhatian kepada perkara lain, dan membuatkan rakyat lupa mengenai Wawasan 2020 kerana mereka (kerajaan) tidak boleh penuhi.

“Bila 2050 sampai, ramai rakyat Malaysia (sekarang) sudah tiada…ini adalah untuk mengaburi mata rakyat.”

Katanya lagi, Malaysia memerlukan pengurusan terbaik yang menumpukan keperluan rakyat dalam pendidikan, latihan dan meningkatkan produktiviti.

“Kita perlu ada infrastruktur, dan pentadbiran terlatih dan mesra rakyat. Saya pasti kita boleh hasilkan pakar pelbagai bidang yang boleh mengembangkan ekonomi

“Kita ada idea untuk buat semua ini. Tetapi kita juga perlu berdepan dengan hutang negara yang tinggi, hapuskan kleptokrasi, dan menangani masalah keruntuhan  (sistem) perundangan kita,” katanya menambah yang hutang Malaysia kini mencecah RM1 trilion.

Ketika beliau melancarkan Wawasan 2020, Dr Mahathir menulis mesej peribadi yang diletakkan dalam kapsul masa yang sepatutnya dibuka pada 2020.

Kapsul masa itu masih perlu dibuka walaupun wawasan itu mungkin tidak kesampaian, katanya lagi.

“Ia perlu digali. Kita ada impian besar. Sama ada kita penuhi atau tidak, kita perlu lihat apa yang tertulis dalam kapsul itu.

“Saya sendiripun dah lupa apa yang ditulis,” katanya. – 24 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen