PAKATAN Harapan (PH) masih lagi sebuah kerajaan dan akan terus mentadbir negara, kata Dr Dzulkefly Ahmad, mengulas spekulasi mengenai penubuhan kerajaan baharu.
Menteri Kesihatan itu menyeru rakyat supaya bersabar dan menunggu keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah yang menerima mengadap enam pemimpin parti semalam.
Beliau juga menegaskan mesyuarat Majlis Presiden PH pada Jumaat lalu telah menyerahkan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menetapkan tarikh peralihan kuasa.
“Kita ada Majlis Presiden yang dipengerusikan oleh Tun dan kita akan sokong keputusan beliau (tarikh melepas jawatan).
“Itu pendirian Amanah,” katanya selepas majlis pelancaran Kempen Kesedaran Pengurusan Kelesuan Bagi Anggota Kesihatan Peringkat Kebangsaan hari ini.
Dzulkefly mengulas mengenai spekulasi Bersatu akan membentuk kerajaan baharu bersama Umno dan PAS.
Agong juga semalam menerima mengadap beberapa pemimpin utama parti pembangkang dan kerajaan.
Antara yang mengadap Agong di Istana Negara semalam adalah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Turut menyertai adalah Presiden Warisan dan Ketua Menteri Sabah Minister Shafie Apdal dan Presiden Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang juga Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg. – 24 Februari, 2020.
Komen