Berita palsu isu Tabung Haji punca ugutan bunuh, kata Mujahid


Zaim Ibrahim

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa berkata laporan berunsur fitnah, pembohongan, dan sentimen kaum menyebabkan timbul ugutan itu ke atasnya di Facebook. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2020.

MENTERI hal ehwal agama Mujahid Yusof Rawa percaya beberapa berita palsu yang tular berhubung aset Tabung Haji menjadi punca timbul ugutan bunuh ke atasnya di media sosial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata laporan berunsur fitnah, pembohongan, dan sentimen kaum menyebabkan timbul ugutan itu ke atasnya di Facebook.

“Ada orang tidak boleh kawal perasaan dia. Dipengaruhi dengan fitnah, pembohongan seperti jual aset orang Islam atau Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang bukan Islam kuasai Tabung Haji.

“Beberapa pihak tularkan satu keadaan yang timbulkan kemarahan orang.

“Itulah yang terhasil daripada (berita) fitnah, bohong, dan sentimen kaum yang bawa kepada komentar Facebook,” katanya kepda pemberita di Pulau Pinang.

Katanya, pengguna media sosial itu mengugutnya dengan menulis “Mujahid ini bunuh dia saja” di media sosial berkenaan.

Beberapa laporan polis dibuat oleh NGO dan petugas parti Amanah berhubung ugutan itu.

Mujahid juga menjelaskan, pemindah beberapa aset Tabung Haji ke syarikat tujuan khas Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJ) bertujuan menyelamatkan 9.4 juta pendeposit daripada terus menanggung kerugian.

“Usaha pemulihan yang kita buat untuk jaga pendeposit. Kalau kita tidak buat sesuatu, habislah pendeposit tanggung kerugian.

“Keputusan itu dibuat dengan perjanjian pemindahan milik, bukan jual dan beli. Dengan konsep aset yang dipindahkan ini dipulihkan supaya ia hasilkan keuntungan semula,” tambahnya.

Ia melibatkan pindah milik 29 aset hartanah, satu syarikat tidak tersenarai dan pegangan saham bernilai RM9.63 bilion pada Disember 2018.

Pada waktu itu, Mujahid mendedahkan, Lembaga Tabung Haji didapati bertindak melanggar undang-undang kerana membayar hibah walau akaunnya mencatat defisit sebanyak RM4.1 bilion.

Kerajaan juga mengumumkan Tabung Haji didapati membayar hibah menggunakan wang daripada akaun simpanan pencarum dan bukannya keuntungan yang diisytiharkan.

Ia berdasarkan semakan kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji untuk 2018 yang dilakukan firma PricewaterhouseCoopers (PwC).

Laporan yang dibentangkan di Parlimen menunjukkan dua urusniaga dilakukan TH untuk membayangkan hibah itu diambil daripada keuntungan tahunan mereka.– 23 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen