Tabung Haji bayar hibah guna simpanan pencarum, kata audit


Asila Jalil

Terdapat dua urusniaga meragukan dilakukan Tabung Haji bagi memenuhi sasaran hibah pencarum. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Disember, 2018.

TABUNG Haji membayar hibah (dividen) menggunakan wang daripada akaun simpanan pencarum dan bukannya keuntungan yang diisytiharkan, menurut semakan kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji untuk 20187 dilakukan PricewaterhouseCoopers (PwC).

Laporan yang dibentangkan di Parlimen hari ini menunjukkan terdapat dua urusniaga dilakukan TH untuk membayangkan hibah itu diambil daripada keuntungan tahunan mereka.

Urusniaga pertama melibatkan penjualan kepentingan Tabung Haji dalam Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) untuk memberikan gambaran yang ia meraih untung sebelum saham tersebut dibeli semula.

Pada 2017, Tabung Haji menjual RM2.551 bilion pelaburan dalam kepentingan di BIMB dan menjana keuntungan RM553 juta yang dimasukkan ke dalam perolehannya.

Bagaimanapun pada tahun sama, TH membeli semula sahamnya dalam BIMB dengan harga RM2.688 bilion.

“Serta merta jualan saham dalam BIMB tidak menyebabkan manfaat tunai kepada Tabung Haji, selain daripada manfaat pada peringkat TH, yang meningkatkan keuntungan Tabung Haji untuk FY2017 sebanyak RM533 juta,” kata semakan itu.

“Berdasarkan perbincangan kami dengan pedagang ekuiti Tabung Haji, beliau mengesahkan yang jualan dan belian balik saham BIMB dilakukan bagi mewujudkan nilai tambah baik saham BIMB bagi mengiktiraf keuntungan diperlukan bagi memenuhi sasaran edaran bonus untuk 2017,” katanya.

Ia juga berkata yang jualan dan belian balik saham BIMB tidak disertakan dalam penyata kewangan Tabung Haji walaupun sepatutnya ia dinyatakan.

Urusniaga kedua dibuat Tabung Haji melibatkan anak syarikat yang mengisytiharkan dividen tinggi tetapi jumlahnya tidak dibayar penuh.

“Dividen diisytiharkan anak syarikat adalah RM510 juta, yang mana RM222 juta masih belum dibayar anak syarikat ketika tarikh laporan ini dibuat.

“Walaupun, transaksi di atas kelihatan komersial, kami memahami hasratnya adalah untuk membolehkan Tabung Haji melaporkan keuntungan lebih tinggi bagi tujuan pengedaran pencarumnya.

“Ini hanya menyebabkan hibab dibiayai menerusi wang tunai akaun simpanan pencarum dan bukannya keuntungan yang diisytiharkan,” tambah laporan itu. – 10 Disember, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen