RAZALIF Mohd Zain, yang mengumumkan mencabar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk jawatan ketua Pemuda Bersatu digugurkan daripada bertanding jawatan ketua sayap bahagian Bukit Bendera, yang dijadual berlangsung hari ini.
Beliau mendakwa namanya digugurkan atas alasan tidak layak bertanding kerana tidak cukup keahlian setahun dalam parti.
Bagaimanapun Razalif memberitahu The Malaysian Insight, alasan itu hanya dalih kerana beliau menyertai Bersatu pada 14 Februari 2018.
Katanya, beliau sudah membawa isu ini kepada Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan (JPP) Pulau Pinang, Ariff Shah Omar Shah dan Pengerusi JPP Pusat, Syed Hamid Albar tetapi mereka meminta ia dirujuk kepada Setiausaha Agung, Marzuki Yahya.
“Nama saya digugurkan daripada bertanding atas alasan keahlian saya tidak cukup setahun, sedangkan saya adalah ahli Bersatu sejak 2018.
“Amat mengecewakan kerana Marzuki sekadar menjawab, ‘saya mempunyai bukti yang kukuh’ dan tiada maklum balas hingga ke hari ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Jelas Razaliff, beliau sudah dua kali menghubungi Syed Hamid tetapi dimaklumkan isu tersebut hanya boleh diselesaikan oleh setiausaha agung.
The Malaysian Insight cuba mendapatkan komen daripada Marzuki tetapi sehingga kini beliau masih belum dapat dihubungi.
“Saya tiada masalah peribadi dengan Marzuki, malah saya antara penaja ketika rumah terbuka Raya Aidilfitri Bersatu Pulau Pinang tahun lepas.
“Marzuki perlu letak jawatan dengan segera, beliau tidak layak pegang jawatan itu. Beliau pernah memberi amaran ahli yang membuat rungutan di media akan dikenakan tindakan disiplin, tetapi bagaimana dengan keadilan dan hak ahli-ahli?
“JPP hanya jadi badut yang dikawal Setiausaha Agung,” tegas Razaliff.
Mengikut perlembagaan Bersatu, seseorang yang ingin bertanding perlu menjadi ahli parti yang sah dengan tempoh daftar sebagai ahli sekurang-kurangnya setahun.
Calon juga perlu mengemukakan pengesahan bukan seorang bankrap dan bebas daripada sebarang rekod jenayah.
Syed Hamid Albar ketika dihubungi memberitahu, walaupun Razalif mengatakan tarikh daftar ahli adalah lebih daripada satu tahun, pihak pengurusan pemilihan parti mendapat status sebenar keahlian daripada setiausaha agung.
“Dia kata tarikh daftar ahli adalah adalah 14 Februari 2018 tetapi berdasarkan tarikh sebenar yang kita juga rujuk daripada Setiausaha Agung, kita diberitahu beliau masih tidak layak kerana tidak mencukupi keperluan teknikal, iaitu keahlian tidak cukup setahun daripada tarikh pertandingan.
“Jika beliau tidak berpuas hati, beliau boleh buat aduan kepada Lembaga Disiplin atau Lembaga Rayuan. Tiada masalah,” jelas beliau kepada The Malaysian Insight.
Syed Hamid turut berkata, seseorang calon yang kalah di peringkat bahagian masih boleh bertanding di peringkat pusat sekiranya keahlian cukup 12 bulan dan pernah memegang ahli jawatankuasa di peringkat nasional.
Pada 26 Januari lalu, Razalif mengumumkan diri untuk mencabar jawatan Ketua Armada Pusat bagi melawan Syed Saddiq dan turut merebut jawatan Ketua Armada Bahagian Bukit Bendera.
Jelasnya, beliau melawan jawatan itu bukan untuk mendapatkan jawatan di peringkat kementerian tetapi beranggapan, Armada seperti hidup segan mati tidak mahu di bawah Syed Saddiq. – 23 Februari, 2020.
Komen