Armada hidup segan mati tak mahu bawah Syed Saddiq, kata pencabar


SM Amin Zaim Ibrahim

Kegagalan menarik sokongan anak muda antara lain berpunca daripada kegagalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menguatkan jentera Armada di akar umbi, kata pencabarnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 3 Februari, 2020.

ARMADA Bersatu tiada hala tuju jelas di bawah kepimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang lemah, kata dua pencabarnya bagi jawatan tertinggi sayap itu.

Calon berkenaan, Mohd Muzammil Ismail dan Razalif Mohamad Zain juga menegaskan Armada perlu diterajui pemimpin baharu untuk meraih semula sokongan anak muda.

Menurut calon ini, kemerosotan sokongan anak muda terhadap Bersatu dan juga Pakatan Harapan ketika ini dapat dilihat dalam beberapa keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) sejak tahun lalu.

Terbaru, keputusan PRK di Kimanis juga jelas menunjukkan anak muda sudah hilang keyakinan terhadap pemimpin muda dalam parti kerajaan, kata Razalif.

Paling ketara adalah isu tekanan ekonomi dan juga janji yang tidak dilaksana seperti yang berkait dengan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), katanya.

“Perubahan tidak dirasai menyebabkan anak muda beralih sokongan (kepada pembangkang). Mereka marah kerana janji berkenaan isu PTPTN tidak dilaksana dan tekanan ekonomi semasa.

“Kita boleh lihat dalam beberapa pilihan raya kecil, paling ketara ketika di Tanjung Piai, kita kalah besar, anak muda tolak kita,” kata Razalif kepada The Malaysian Insight.

Dalam lima PRK yang diadakan pada tahun lalu, PH hanya menang di PRK Sandakan dan selebihnya dimenangi oleh BN – di kerusi Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai.

Dalam siri PRK tersebut juga PH tewas di hampir semua saluran anak muda.

Kegagalan menarik sokongan anak muda, kata Razalif, antara lain berpunca daripada kegagalan Syed Saddiq menguatkan jentera Armada di akar umbi.

“Berdasarkan pemerhatian dan aduan ahli Armada, majoriti mengeluh ekonomi (dan fungsi) mereka tidak dijaga seolah-olah hidup segan mati tidak mahu.

“Program-program di peringkat akar umbi juga tidak dapat dibuat, sebab kekurangan dana,” katanya.

Muzammil yang turut sependapat dengan Razalif menyifatkan Armada ketika ini berada pada fasa kritikal di antara hidup dan mati.

Jelasnya, sejak penubuhan sayap parti itu, pimpinan akar umbi tidak dipersiapkan dengan kemahiran yang diperlukan.

“Hari ini jentera Armada tidak dipersiapkan melalui latihan, pengkaderan, pengucapan awam, pengurusan organisasi untuk kita bina kemahiran, memperkasakan ahli Armada terutama di peringkat ketua Armada bahagian,” katanya.

Pencabar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata keputusan PRK di Kimanis juga jelas menunjukkan anak muda sudah hilang keyakinan terhadap pemimpin muda dalam parti kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Februari, 2020.

Malah kata Muzammil, Armada juga berada dalam keadaan yang daif kerana tidak dibantu dari kewangan untuk menguruskan parti di peringkat akar umbi.

“Ketua-ketua Armada seperti kura-kura. Bukan lambat berjalan tetapi nampak sahaja anak buah, lari masuk dalam cengkerang, takut kerana dalam poket sendiri tidak ada (duit).

“Jadi bagaimana dia hendak jaga anak buah, batalion dia sendiri sedangkan dia sendiri tidak mampu lagi untuk mengurus anak-buah.

“Ini yang berlaku, kesan domino apabila ketua tidak mampu, anak-anak buah seperti mana anak ayam yang lari bertempiaran, tidah tahu ke mana,” katanya.

Jelas Muzammil, kegagalan pemimpin menggunakan sumber yang ada untuk menjaga dan membantu kebajikan pemimpin akar umbi menyukarkan mereka menguruskan organisasi di bawah.

Katanya, ketika pemilihan menjelang barulah mereka lihat terdapat usaha untuk mengagihkan RM2,500 kepada Armada bahagian – selepas satu tahun lapan bulan menguasai kerajaan.

“Sedangkan, setahun lapan bulan dahulu, ketua Armada bahagian ini ada yang bergolok-gadai, terpaksa jual kereta, rumah disita, bercerai-berai, ini akta. Boleh semak di akar umbi, inlah keadaannya,” katanya.

Masalah kewangan Bersatu di peringkat akar umbi pernah disuarakan oleh Naib Presiden Abdul Rashid Abdul Rahman dalam perhimpunan parti 2018.

Beliau pada waktu itu mencadangkan supaya ketua bahagian dan ketua cawangan diberikan projek kerajaan supaya dapat menjana wang dan berkhidmat kepada masyarakat.

Cadangan itu dibantah dengan keras oleh Syed Saddiq yang menegaskan rakyat Bersatu tidak boleh kembali mengamalkan politik naungan.

Selain daripada itu kata Muzammil, Syed Saddiq juga gagal menjelaskan hala tuju Armada terutamanya berkait dengan soal orang Melayu, Bumiputera dan agama Islam.

Beliau antara lain memberi contoh pendirian Syed Saddiq dalam isu pendakwah kontroversi Zakir Naik  yang ditekan agar dihalau keluar dari Malaysia.

“Apabila Syed Saddiq mengeluarkan kenyataan menghantar pulang Dr Zakir Naik, Armada bergaduh teruk.

“Bersatu terutama Armada, dianggap seolah-olah menentang Melayu, Islam dan sebagainya. Begitu juga bila Syed Saddiq persoal tentang ketuanan Melayu.

“Saya juga terpaksa jadi kura-kura kerana tidak tahu hendak jawab apa,” katanya.

Syed Saddiq  mengumumkan akan mempertahankan jawatannya sebagai ketua Armada nasional dan menegaskan beliau tidak gentar untuk dicabar kerana menghormati amalan demokrasi.

Beliau yang enggan mengulas tuduhan kelemahan kepemimpinan dan hala tuju dalam Armada itu menyambut cabaran itu sebagai pesta demokrasi dalam pemilihan sulung parti itu.

“Saya biarkan akar umbi memilih dan membuat keputusan. Dalam tempoh masa tiga empat tahun di mana Bersatu dan Armada ditubuhkan, banyak perkara telah dilakukan bersama seperti keluarga.

“Kita hendak pastikan pemilhan ini bergerak dengan sihat. Ia merupakan jalan untuk kita terus memperkasakan kedudukan parti,” katanya. – 3 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen