Muhyiddin ada kuasa klasifikasi kumpulan pengganas, kata Peguam Negara


Tommy Thomas berkata beliau menekankan tentang kesan Seksyen 66B (9) akta tersebut yang boleh menjejaskan pendakwaan kes dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2020.

PEGUAM Negara Tommy Thomas bersetuju dengan kenyataan Muhyiddin Yassin bahawa Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa untuk mengklasifikasikan individu atau kumpulan sebagai pengganas mengikut undang-undang.

Mengulas mengenai pengguguran dakwaan terhadap 12 lelaki yang didakwa terlibat dalam aktiviti keganasan, Tommy berkata beliau tidak mempersoalkan kuasa menteri itu tetapi mahu menarik perhatian tentang klausa dalam Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Akta Aktiviti Perolehan Tidak Sah yang boleh menjejaskan pendakwaan kes.

“Betul kata menteri (Muhyiddin). Beliau mempunyai kuasa untuk mewartakan atau memansuh mana-mana kumpulan individu,” kata Tommy ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Tommy berkata beliau menekankan tentang kesan Seksyen 66B (9) akta tersebut yang boleh menjejaskan pendakwaan kes dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Seksyen itu membenarkan semakan “setiap enam bulan” untuk menentukan sama ada terdapat alasan yang munasabah untuk menahan kumpulan berdasarkan warta tersebut.

Kata Tommy, menteri dalam negeri perlu meneliti semula status penahanan setiap enam bulan selaras dengan perintah yang dibuat di bawah Seksyen 66B(1) oleh Menteri Dalam Negeri bahawa sesebuah entiti adalah kumpulan pengganas tidak dimaksudkan untuk kekal dan bertahan selama-lamanya.

Katanya, jika tindakan-tindakan atau kecenderungan kepada keganasan berterusan, perintah tersebut perlu dikekalkan.

“Jika, sebaliknya, tindakan-tindakan sedemikian telah berhenti atau entiti tersebut telah hampir luput, tidak wujud lagi atau dibubarkan, maka perintah tersebut seharusnya dibatalkan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Semalam, Pejabat Peguam Negara telah menghentikan prosiding terhadap 12 individu yang didakwa menyokong kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Dalam satu kenyataan, Tommy berkata “tidak ada prospek yang jelas untuk sabitan terhadap mana-mana 12 tertuduh atas mana-mana 34 pertuduhan”.

Thomas berkata pemilikan gambar pemimpin LTTE Velupillai Prabhakaran dianggap sebagai pahlawan kepada orang India, tidak mencukupi untuk menyokong keganasan. 

“Oleh yang demikian, dalam menjalankan kuasa budi bicara saya menurut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, saya telah memutuskan untuk memberhentikan prosiding-prosiding terhadap mereka berkuat kuasa serta merta,” katanya.

Awal hari ini, Muhyiddin dalam satu kenyataan berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengekalkan status kumpulan LTTE sebagai kumpulan pengganas.

Kata Muhyiddin, pihaknya ada asas kukuh untuk mengekalkan LTTE sebagai kumpulan pengganas kerana ideologi mereka masih lagi ancaman kepada keselamatan.

“Kumpulan ini dipercayai masih mempunyai ideologi yang boleh menimbulkan ancaman terhadap ketenteraman awam dan keselamatan negara. 

“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk mengambil tindakan mengikut saluran undang-undang bagi membendung sebarang bentuk penyebaran ideologi dan kegiatan yang berkaitan dengan kumpulan ini,” katanya. – 22 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen