LTTE kekal dalam senarai kumpulan pengganas, kata Muhyiddin


Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin membuat penegasan itu sehari selepas Peguam Negara Tommy Thomas mengumumkan pihaknya akan menghentikan prosiding jenayah terhadap 12 individu yang didakwa menyokong LTTE. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2020.

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan mengekalkan status Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) sebagai kumpulan pengganas, kata menterinya Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin membuat penegasan itu sehari selepas Peguam Negara Tommy Thomas mengumumkan pihaknya akan menghentikan prosiding jenayah terhadap 12 individu yang didakwa menyokong LTTE.

Kata Muhyiddin, pihaknya ada asas kukuh untuk mengekalkan LTTE sebagai kumpulan pengganas kerana ideologi mereka masih lagi ancaman kepada keselamatan.

“Kumpulan ini dipercayai masih mempunyai ideologi yang boleh menimbulkan ancaman terhadap ketenteraman awam dan keselamatan negara. 

“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk mengambil tindakan mengikut saluran undang-undang bagi membendung sebarang bentuk penyebaran ideologi dan kegiatan yang berkaitan dengan kumpulan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Thomas memberi alasan pihaknya tidak mempunyai “prospek yang jelas” untuk mensabitkan mana-mana 12 tertuduh itu dengan mana-mana 34 pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka sebelum ini.

Beliau antara lain menghuraikan bahawa mengagungkan personaliti tertentu termasuk pengganas tidak menjadikan seseorang itu boleh juga seterusnya dianggap sebagai pengganas.

Thomas juga menggesa menteri dalam negeri menggunakan kuasanya untuk mengkaji setiap enam bulan sekali status pihak yang disenaraikan sebagai pengganas, termasuk LTTE.

Bagaimanapun dalam kenyataannya hari ini, Muhyiddin berkata undang-undang memberikan kuasa kepada menteri untuk menyenarai mana-mana individu atau kumpulan sebagai pengganas, serta kuasa untuk mengekal atau mengeluarkan mereka daripada senarai itu.

Beliau merujuk kepada Seksyen 66B(1) dan 66B (9) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

“Kedua-dua seksyen berkenaan tidak menyatakan hanya entiti yang masih bergerak aktif sahaja yang boleh disenaraikan sebagai Entiti Yang Ditentukan. 

“Penyenaraian entiti berkenaan adalah berdasarkan maklumat perisikan dan keselamatan terkini yang mempunyai kredibiliti seperti daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

“KDN tidak akan mempertimbangkan sebarang maklumat yang bersifat khabar angin dan sembarangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin juga berkata selain Malaysia beberapa negara juga masih mengekalkan LTTE sebagai kumpulan pengganas di negara mereka, antaranya India, Kanada, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Keputusan Thomas yang diumumkan semalam disambut baik oleh beberapa pihaknya antara peguam dan badan hak asasi manusia, namun dibantah oleh beberapa pihak yang lain.

Beberapa pemimpin dan kumpulan hak Melayu pada masa sama mendesak pihak berkuasa membebaskan suspek Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (IS) yang ditahan polis.

Beberapa badan sama misalnya Pembela dijangka membuat desakan yang sama dalam sidang media esok.

Antara 12 tertuduh yang terkait kes LTTE itu adalah ahli DAP, termasuk Adun Seremban Jaya G Saminathan dan Adun Seremban Jaya P Gunasekaran.  – 22 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen