Reformasi siapa punya?


Izmil Amri

HARI ini 21 Februari 2020. Malam ini ada mesyuarat penting di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan akan berlangsung antara lain bagi memutuskan tarikh luput perkhidmatan Dr Mahathir Mohamad, untuk diserahkan kepada perdana menteri menunggu, Anwar Ibrahim – sepertimana yang telah disepakati.

Cerita peralihan kuasa ini telah menjadi batu dalam sepatu yang amat menjengkelkan. Payah untuk kita berjalan terus selagi mana si batu bodoh ini terus mengeliting di tapak kaki, apatah lagi kalau menyucuk di celah-celah jari. Tetapi jangan kerana batu seketul, kasut pun kita lempar ke tepi dan terus berkaki ayam.

Kita perlu bertenang, cari bangku; duduk sebentar, tarik nafas. Buka kasut elok-elok, ketuk keluar batu terbabit, tenung betul-betul betapa kecil dan menjengkelkan sifatnya; sarungkan kasut, teruskan berjalan.

Peralihan kuasa dari tangan ke tangan adalah perkara biasa. Setiap orang ada tarikh luputnya. Apatah lagi orang politik. Kalau pun tidak pengaruhnya, idea dan usahanya pasti dipintas dengan idea dan upaya yang lebih baik. Ramai lagi manusia bercita-cita besar mahu jadi perdana menteri. Bukan Anwar seorang.

Mohamed Azmin Ali, misalnya, difahami mempunyai cita-cita besar mengambil alih tugas mengetuai kerajaan. Beliau kelihatan giat mencontohi Dr Mahathir dalam banyak hal, termasuk baru-baru ini melazimi hobi menunggang kuda. Anwar pun dulu pernah menunggang kuda. Tapi terbabas.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang pun ada cita-cita mahu jadi perdana menteri. Namun entah kenapa tiba-tiba beriya menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir, seolah-olah beliau bukan anggota blok pembangkang. 

Kita ucap terima kasih untuk sokongan itu. Hatta kalau mahu kemuka usul percaya pun tak apa, walaupun bunyinya mengarut belaka. Dr Mahathir sudah pun jadi PM. Nak usul percaya apa lagi.

Sebelum Hadi menyokong Dr Mahathir sebagai perdana menteri, DAP telah jauh lebih awal memberi sokongan padu kepada beliau – sehinggakan ketika itu, habis menyumpah akar rumput DAP terhadap pucuk pimpinan parti. Setelah menang pilihan raya, akar rumput yang marah-marah ini pun turut ikut bertepuk tangan dan mencari ruang dalam kerajaan.

Ketika DAP menyokong Dr Mahathir sebagai pengerusi Pakatan Harapan dan calon perdana menteri, Hadi sekadar menyindir. Doktor kampung katanya. Tidak layak jadi perdana menteri. Baginya, yang layak jadi PM itu, dia. Si pemimpin parti yang kini menumpahkan sepenuh rasa percaya kepada musuh zaman-berzaman yang belum bertaubat daripada dosa-dosa korupsi dan perkaumannya.

Namun hari ini apa yang lebih penting ialah negara sudah diselamatkan daripada rejim Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor. Kedua-duanya kini sedang giat naik turun mahkamah. Negara juga telah diselamatkan daripada Hadi. Setakat ini.

Adakah negara dapat diselamatkan pula daripada perkelahian tentang peralihan kuasa? Itu soalan seterusnya.

Reformasi

2 September 1998, meski sudah jauh ditinggalkan, ia seakan bayang-bayang. Malam hilang, muncul bila terbit siang. Tarikh ini penting kerana ia memberikan latar kepada soal ‘peralihan kuasa’ yang tidak berkesudahan sehingga ke hari ini.

Pada 1998 dulu, ketika Anwar dipecat dan dilengser daripada jawatannya dalam kerajaan, diikuti parti, kita diberitahu bahawa Anwar sudah dipersiap sebagai pemangku PM. Dan bagi ramai ‘Mahathirist’ ketika itu, Anwar menemui nasib yang sebaliknya kerana beliau ‘tidak sabar’.

Dua puluh dua tahun kemudian, seakan menaiki mesin masa, kita didepani cerita yang sama. Ini dia seorang Anwar, sedang menahan sabar, menaiki keretapi yang bergerak begitu perlahan, menuju ke satu destinasi yang dijanjikan, cumanya tak tahu bila sampai.

Anwar nampak tenang. Namun entah kenapa pengikutnya tidak senang duduk. Sepertinya gerombolan pengikut inilah yang akan jadi perdana menteri. Mungkin kerana merasakan merekalah tuan punya perjuangan ‘Reformasi’. Mungkinlah. Saya kurang periksa.

Pada 20 September 1998, ribuan warga turun ke jalan, menuntut supaya perdana menteri meletakkan jawatan. Video rakaman perhimpunan tersebut beredar ke seluruh negara, dari tangan ke tangan. Zaman itu Facebook dan WhatsApp bukannya ada. ‘Mahathir letak jawatan!’ laung para demonstran. 

Masuk 2020, laungannya tetap sama. Seperti Reformasi itu, satu itu sajalah ertinya – Anwar mesti jadi menteri perdana.

Eh, biar betul. Reformasi ini, gerombolan ini sahajakah yang punya? Pastinya selepas 9 Mei 2018, Reformasi boleh diberi erti yang lebih besar daripada ini. – 21 Februari, 2020.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen