Tiada rekod hitam putih tanah hak milik Orang Asli, kata MB Selangor


Diyana Ibrahim

Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari ketika bercakap pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam, hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 20 Februari, 2020.

MENTERI Besar Selangor Amiruddin Shari menafikan dakwaan masyarakat Orang Asli Temuan bahawa mereka mempunyai dokumen tahun 1927 yang memberikan mereka hak milik ke atas tanah seluas 17,900 ekar atau 7,200 hektar di kawasan hutan simpan kekal di Kuala Langat.

Katanya, rekod hitam putih yang ada pada kerajaan negeri hanyalah tanah rayau bagi Orang Asli.

“Macam mana pula ada perjanjian hitam putih? Perjanjian hitam putih yang ada cuma kawasan rayau Orang Asli, sepanjang yang kita tahu,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam, hari ini.

Kerajaan Selangor merancang untuk mengeluarkan tanah seluar 930 hektar dari status simpanan kekal di Hutan Simpan Utara Kuala Langat bagi tujuan projek pembangunan campuran.

Cadangan itu mendapat bantahan pelbagai pihak kerana bakal menjejaskan kawasan hutan untuk masyarakat Orang Asli di empat perkampungan di kawasan itu, tempat mereka bergantung hidup.

Amiruddin menjawab pertanyaan mengenai dakwaan Orang Asli di Kuala Langat bahawa kerajaan negeri secara terang-terangan menceroboh tanah Orang Asli apabila cuba untuk mengeluarkan sebahagian kawasan hutan simpan itu bagi tujuan pembangunan.

Tok Batin Rahman Pahat berkata ia berdasarkan perjanjian hitam putih dibuat tahun 1927 mengikraf kawasan Orang Asli Temuan yang ketika itu dikenali sebagai suku kaum Sakai.

Rahman yang memimpin masyarakat Orang Asli di Kampung Pulau Kempas, Kampung Bukit Cheeding dan Kampung Bukit Kechil berkata hal itu menjadi tanya memandangkan pejabat daerah memaklumkan kepada mereka ada pertindihan antara tanah Orang Asli dan tanah kerajaan negeri.

Tegas Amiruddin, kawasan perkampungan Orang Asli seluas 1,046 ekar atau 423 hektar tidak terlibat dalam perancangan untuk memansuhkan status hutan simpan tersebut.

“Kampung Orang Asli tak terlibat… kita dah keluarkan awal-awal dari rancangan pemansuhan.

“Kawasan Orang Asli sebanyak 1,046 ekar tetap masih dalam kawasan hutan simpan dan jadi perkampungan Orang Asli dan kawasan rayau Orang Asli,” katanya. – 20 Februari, 2020.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen