Ada bukti kerajaan Selangor ceroboh tanah, kata Orang Asli Kuala Langat


Diyana Ibrahim

Orang Asli Kuala Langat, Selangor mendakwa kerajaan negeri menceroboh tanah mereka untuk mengeluarkan 930 hektar dari kawasan Hutan Simpan (Utara) Kuala Langat bagi tujuan pembangunan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 Februari, 2020.

Orang Asli Kuala Langat, Selangor mendakwa kerajaan negeri menceroboh tanah mereka untuk mengeluarkan 930 hektar dari kawasan Hutan Simpan (Utara) Kuala Langat bagi tujuan pembangunan.

Tok Batin kawasan itu Rahman Pahat berkata masyarakat Orang Asli Temuan mempunyai bukti jelas perjanjian hitam putih yang dibuat pada tahun 1927 menunjukkan tanah itu milik mereka.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, perjanjian itu menyatakan tanah seluas 17,900 ekar itu meliputi daerah Kuala Langat dan pemukiman Tanjung Dua Belas diberikan kepada mereka oleh Sultan Selangor waktu itu, Sultan Abdul Samad Tengku Abdullah.

“Mengikut sejarahnya, moyang kami  digelar Pak Pelangi yang dilantik sebagai panglima Istana menjaga keselamatan Tuanku.

“Maklumat itu ada, tapi saya nampak hak Orang Asli tetap tertindas dari dulu sampai sekarang,” katanya sambil menunjukkan perjanjian tersebut kepada The Malaysian Insight.

Menurutnya, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) turut memperakui tanah tersebut merupakan milik Orang Asli Kuala Langat.

Bagaimanapun Rahman hairan apabila perkara itu dirujuk kepada pejabat daerah mereka dimaklumkan terdapat pertindihan tanah milik Orang Asli dan kerajaan negeri.

Rahman juga kesal kerana banyak pembangunan yang dilakukan sebelum ini juga tidak dirujuk kepada mereka.

“Yang pembangunan sebelum ini mereka tidak ada rujuk kepada Orang Asli. Kalau nak ikutkan projek Gamuda Corp (perumahan) itu pun dah termasuk dalam kawasan kami

“Cuma bila kita rujuk kepada pejabat daerah mereka kata ada pertindihan tanah, yang itu kita tak faham macam mana boleh berlaku.

Mereka juga telah membuat aduan kepada pejabat Menteri Besar namun tiada satu maklum balas yang diterima, kata tok batin kepada Kampung Pulau Kempas, Kampung Bukit Cheeding dan Kampung Bukit Kechil itu.

Tambahnya, kehidupan pendududk kampung berkenaan, dan juga Kampung Bukit Prah, Kampung Bukit Kechil dan Kampung Bukit Busut bergantung kepada hutan tersebut.

“Jika mereka ambil tanah tersebut maka kami Orang Asli sudah tidak ada hutan lagi. Inilah satu- satunya hutan yang tinggal,” katanya.

Rancangan mengeluarkan 930 hektar dari kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara itu diketahui apa apabila Jabatan Perhutanan Selangor menyiarkan notis di akhbar pada 5 Februari lepas.

Ia menyatakan tanah tersebut akan dibangunkan bagi projek pembangunan bercampur dan mengundang pihak berkepentingan di daerah itu menyuarakan bantahan terhadap cadangan itu dalam tempoh 30 hari.

Seorang lagi pemimpin masyarakat Orang Asli Kampung Bukit Busut Baru di situ berkata berita itu mengejutkan mereka yang masih belum pulih dari trauma.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung MPKK Kampung Bukit Busut Baru Shamsul Senin berkata mereka pada asalnya dipaksa berpindah dari kampung yang kini menjadi sebahagian tapak KLIA.

Menurut Shamsul, rancangan terbaru mengeluarkan tanah itu dari kawasan rizab akan menyebaban kira-kira 400 penduduk Kampung Bukit Busut Baru akan kehilangan tanah mereka sekali lagi.

Perkara itu diakui oleh Rahman yang berkata peta asal Kampung Bukit Baru menunjukkan kawasan itu termasuk dalam kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

“Bukan saja kawasan kampung Bukit Busut Baru tapi kampung  Bukit Cheding, Pulau Kempas dan sekitarnya juga terkesan.

“Kawasan hutan simpan ini tidak besar mana, jika tak silap dalam 1,095 hektar. Dalam notis kata nak keluar dalam 930 hektar maksudnya keseluruhan tanah simpan akan dibangunkan,” katanya.

Surat bantahan kepada menteri besar

Oleh itu itu Rahman berkata penduduk Orang Asli Kuala Langat akan membantah habis- habisan cadangan tersebut.

Katanya, penduduk Orang Asli akan menghantar surat bantahan di pejabat Menteri Besar pada hari Rabu dan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Kita mendapat sokongan 15 kampung Orang Asli di daerah Kuala Langat termasuk Orang Asli Mah Meri.

“Biarpun berlainan suku kaum, tapi mereka menyatakan sokongan kerana ia juga melibatkan hak dan kepentingan Orang Asli,” katanya.

Shamsul pula berkata beliau kecewa dengan rancangan tersebut yang akan mengubah kehidupan orang Asli sepenuhnya.

“Hutan ini adalah identiti Orang Asli, kalau musnah hutan maka hilanglah identiti orang Asli. Kita sangat kecewa dengan tindakan kerajaan negeri.

“Mereka kata hutan ini tidak ada pokok tapi anda sendiri (media) tengok banyak pokok spesis terancam yang akan musnah begitu saja jika hutan dibangunkan.

Katanya yang dibimbangi generasi depan anak Orang Asli yang tidak akan dapat mengenali hutan selepas ini jika ia dimusnahkan bagi tujuan pembangunan. – 20 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen