BEKAS Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim akan menerima rawatan terbaik bagi pembedahan bahunya yang dijadualkan 12 November ini, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
“Soal berkaitan Anwar Ibrahim yang dibangkitkan, saya ingin menyebutkan bahawa pihak Kementerian Kesihatan menyediakan langkah-langkah memenuhi permintaan beliau sendiri dan ahli keluarga beliau.
“Dengan rasa simpati, saya ingin mengatakan bahawa rawatan terbaik daripada doktor pakar yang sesuai dan post operation ataupun rawatan pasca pembedahan akan diberikan kepada beliau.
“Dan kita tentunya berdoa agar selepas pembedahan beliau akan segera sembuh. Kita harap pegawai-pegawai kesihatan akan memberikan rawatan yang terbaik.
Kenyataan Zahid itu dikeluarkan bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan yang membangkitkan isu Anwar yang cedera di bahu selepas kemalangan dalam perjalanan ke Penjara Sungai Buloh pada 22 September lalu.
G Manivannan mempersoalkan kenapa tiada siasatan lanjut dibuat namun dibantah oleh Zahid.
“Saya nak maklumkan kepada YB Kapar, siasatan itu (kemalangan Anwar) sedang dijalankan. Dan saya pasti ambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melakukan perbuatan itu jika disengajakan,” kata Zahid lagi.
Semalam, anak ketiga Anwar, Nurul Nuha meminta jaminan kerajaan agar tiada sebarang campur tangan dalam pembedahan itu.
“Satu dunia tahun Anwar adalah tahanan politik. Kami khuatir dengan pengalaman yang kami lalui dahulu. Jadi kami ingin menekankan agar diberikan ruang sepenuhnya untuk pihak hospital,” katanya.
Anwar pernah terbabit dalam kemalangan pada 2014 sewaktu menaiki kereta bersama isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail di Desa Sri Hartamas. Kemalangan itu menyebabkan Anwar mengalami keretakan tulang di bahagian bahu kanannya. – 8 November, 2017.
Komen